Bekas ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menyertai staf kejurulatihan salah sebuah kelab yang beraksi dalam saingan divisyen dua bola sepak Itali, Serie B iaitu Como.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Kurniawan dimana beliau memuat naik gambar di laman Instagram miliknya yang menunjukkan jurulatih itu melawat Stadio Giuseppe Sinigaglia termasuk gambar bersama pengarah teknikal kelab, Dennis Wise.
Ini bukanlah pengalaman pertama Kurniawan di bumi Eropah terutamanya di Itali dimana sebelum ini beliau pernah beraksi bersama pasukan akademi Sampdoria dan juga kelab Switzerland iaitu FC Luzern.
Pengurus Sampdoria ketika itu, Sven-Göran Eriksson kagum dengan kemampuan serta kualiti yang dimiliki oleh Kurniawan ketika sesi latihan dan beliau memutuskan untuk membawa beliau ketika Sampdoria melakukan jelajah Asia pada 1994 bersama pemain bintang lain seperti Roberto Mancini dan Attilio Lombardo.
Pada musim 1994, FC Luzern menandatangani Kurniawan Dwi Yulianto secara pinjaman selama satu musim dan beliau berjaya menjaringkan tiga gol dalam 12 perlawanan. Akan tetapi, musim berikutnya pemain kelahiran Magelang, Jawa Tengah itu memutuskan untuk pulang ke Indonesia kerana mengalami homesick, kejutan budaya selain isu kecederaan.
Como 1907 dimiliki oleh salah sebuah syarikat Indonesia, PT Djarum yang dimiliki oleh ahli perniagaan tempatan, Oei Wie Gwan yang memfokuskan perniagaan dalam bidang tembakau.
Dalam saingan Serie B musim lalu, Como menamatkan saingan di tangga ke-13 sekaligus gagal untuk mendapatkan tempat dalam saingan Serie A musim hadapan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:
Dion Cools Tidak Tersenarai Dalam Skuad Pra Musim FC Midtjylland