Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto jelas kurang berpuas hati selepas anak buahnya sekali lagi meraih keputusan seri dalam kempen Liga Super Malaysia 2021 apabila terikat 1-1 bertemu Kuala Lumpur City di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Pengendali kelahiran Indonesia itu turut menyifatkan kesilapan sama yang sering dilakukan adalah apabila tidak memanfaatkan peluang sebaiknya untuk menjaringkan gol.
Perlawanan malam tadi menyaksikan Sabah tersentak pada minit ke-22 apabila pemain pertahanan, Randy Baruh Samson tertolak bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang Hadin Azman yang cuba melakukan percubaan.
Levy Madinda bagaimanapun menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah dengan jaringan menarik hasil sepakan percuma yang terus menerjah gawang lawan pada minit ke-65 untuk keputusan seri kali ketiga berturut-turut dicatatkan.
Sehubungan dengan keadaan tersebut, beliau tidak menafikan kecewa dengan keputusan itu tatkala mereka mengharapkan tiga mata dapat diraih selepas gagal meraih kemenangan dalam lima perlawanan terdahulu.
“Kalau ikutkan keputusan ini, kami memang kecewa kerana sasaran adalah untuk mendapatkan tiga mata sebab kami sudah tiga kali seri berturut-turut.
“Perlawanan semalam, saya boleh katakan kami dapat mengawal permainan secara keseluruhan cuma masalah untuk melakukan penyudah berkesan dengan beberapa peluang yang ada, susah untuk kita menambah jaringan.
“Saya tidak mahu salahkan sesiapa, cuma yang penting selepas ini pemain Sabah perlu lebih fokus dalam tempoh 90 minit ini”, ujar Kurniawan.
Selepas mengharungi 17 perlawanan liga setakat ini, Sabah berada di kedudukan ketujuh selepas mengumpul 19 mata hasil empat kemenangan, tujuh keputusan seri dan enam kekalahan.
Baca artikel-artikel lain yang disediakan untuk anda:
Sumareh Dan Haikal Diumumkan Sebagai Wakil JDT Dalam Champions eFootball PES 2021
Barcelona Singkir Moriba Daripada Skuad B Kerana Enggan Lanjutkan Kontrak
Nafuzi Anggap Bahagian Tengah Mainkan Peranan Penting Bagi Terengganu