Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Super 2023 apabila berjaya menundukkan Kuala Lumpur (KL) City 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Baca Juga:
- Media Sepanyol Dedahkan Radamel Falcao Bakal Sertai JDT
- JDT vs Terengganu: Harimau Selatan Julang Piala Sumbangsih 2023
- TMJ: JDT Kelab Bola Sepak Bukan Kelab Jual Baju
Beraksi di gelanggang lawan dan permukaan padang basah tidak langsung mengganggu rentak anak buah Esteban Solari itu daripada mendominasi sebahagian besar permainan sejak dari awal permainan.
Ia jelas dibuktikan apabila JDT seringkali menghadirkan ancaman berbahaya ke kubu KL City yang dikawal penjaga gol import, Kevin Ray Mendoza Hansen.
Kevin Mendoza jelas menjadi individu yang cukup sibuk dengan beberapa aksi menyelamat ditampilkan terutamanya dalam menafikan percubaan berbahaya daripada Bergson da Silva dan Juan Muniz Gallego.
Gawang penjaga gol kacukan Filipina-Denmark itu akhirnya bocor pada minit ke-41 apabila Romel Morales tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang Jordi Amat daripada melakukan percubaan ketika situasi sepakan percuma.
Amat kemudiannya hampir melebarkan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama tapi tandukannya dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran cantik dilakukan Muniz diselamatkan Kevin Mendoza.
Kedudukan berubah ketika aksi memasuki minit ke-51 apabila pemain naturalisasi terbaharu negara, Endrick Dos Santos menanduk masuk bola hasil hantaran lintang daripada Fernando Forestieri
Seorang lagi pemain yang baharu sahaja mendapat kerakyatan Malaysia, Paulo Josue berpeluang untuk merapatkan jurang gol tetapi percubaannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol JDT pada minit ke-70.
Tuan rumah terus memberikan tekanan buat juara sembilan kali Liga Super itu, namun tandukan Giancarlo Gallifuoco susulan situasi sepakan penjuru diselamatkan Juan Muniz.
Pemain paling bernilai musim lalu, Arif Aiman Hanapi melengkapkan kemenangan 3-0 tersebut selepas beliau mudah menolak masuk bola hasil lorongan kemas Ramadhan Saifullah pada minit ke-90.