Pertahanan UiTM FC, Muhamad Afif Asyraf mengakui mereka tetap berdepan cabaran sukar meskipun diundi bertemu pasukan Liga Premier, Kelantan pada pusingan pertama TM Piala Malaysia, 8 November ini.
Apatah lagi UiTM yang mengalami kesukaran menjalani latihan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang juga terpaksa beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak
Namun, Afif yakin dengan percaturan pengendali Frank Bernhardt yang pasti sudah mencongak prestasi terbaik bagi berdepan Kelantan.
“Saya rasa kami tiada masalah daripada segi latihan walaupun sekarang kena berlatih ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ketat kerana pemain semua sudah serasi dan kita boleh fokus kepada taktikal yang diberikan oleh jurulatih.
“Memang Kelantan lebih bernasib baik apabila mereka dapat berlatih dengan normal kerana di Kota Bharu tidak dilaksanakan PKPB berbanding dengan kami di sini, tetapi saya rasa semua pemain sudah tahu apa yang perlu dibuat tidak kira macam mana kami berlatih pun.
“Sebelum ini sempat berlatih di Seremban dalam beberapa hari sebelum kami sambung berlatih di Lembah Klang, jadi rasanya tiada masalah untuk kita tetap memberi cabaran sengit kepada Kelantan nanti,” jelasnya.
Bakal beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung susulan PKPB yang masih dilaksanakan sehingga 9 November, Afif mengharapkan venue itu dapat memberi tuah kepada mereka selaku tuan rumah untuk memastikan slot ke suku akhir menjadi milik skuad The Lions Troop.
Setakat ini, pencapaian UiTM FC dalam saingan Piala Malaysia hanya bertahan dalam peringkat kumpulan sahaja dan semestinya pada musim ini, pemain berusia 29 tahun itu positif mereka mampu melakar kejutan.
“Memandangkan kami harus beraksi di venue luar, saya merasakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu dapat memberikan sesuatu kepada kami untuk kami cuba lakar kejutan mara ke suku akhir.
“Kita sedar dengan prestasi Kelantan yang semakin meningkat khususnya selepas mereka mempunyai pemilik baharu, Norizam Tukiman, tetapi saya rasa perlawanan kali ini lebih berbeza dengan format kalah mati, jadi apa sahaja boleh berlaku.
“Jadi mahu atau tidak, memang kami kena bagi lebih 100 peratus di atas padang dan saya percaya kami semua tidak akan mengambil mudah perlawanan itu nanti,” tambahnya.
Selain UiTM FC selaku tuan rumah yang akan beraksi di venue luar, Selangor juga tidak terkecuali apabila memilih Stadium Hang Jebat sebagai venue mereka untuk menentang Melaka pada tarikh yang sama, 8 November ini.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.
TMJ: “Menggunakan Dana Kerajaan Hanya Bermaksud Penswastaan Yang Berpura-Pura.”