Legenda bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura atau lebih dikenali dengan panggilan ‘King Kazu’ jelas masih mahu menikmati karier hebatnya dalam bola sepak dan tidak langsung memikirkan tentang persaraan.

Kini, beliau menambah satu lagi pencapaian pada penghujung kariernya selepas tampil beraksi kali pertama untuk kelab divisyen dua Portugal, Oliveirense.

Miura yang menyertai Oliveirense secara pinjaman dari Yokohama FC awal tahun ini masuk ke padang minit 90 ketika pasukannya menewaskan Academico de Viseu, 4-1 semalam.

Menurut laporan laman sesawang liga Portugal, penampilan Miura menjadikan dia pemain paling tua beraksi di liga Portugal pada usia 56 tahun, satu bulan 24 hari.

Portugal negara keenam Muira pernah beraksi selepas memulakan karier kali pertama di luar Jepun dengan menyarung jersi Santos di Brazil pada tahun 1986.

Kali terakhir beraksi di Eropah pada tahun 1999 ketika menyarung jersi Dinamo Zagreb, Miura dilaporkan menyertai UD Oliveirense secara pinjaman daripada Yokohama FC hingga tamat musim.

Difahamkan, Olivereinse dimiliki oleh Onodera Group pada November 2022  yang mana kumpulan tersebut turut merupakan pemilik bagi Yokohama FC.

Memegang status selaku pemain tertua yang beraksi dalam kancah bola sepak profesional, King Kazu pernah berhasrat untuk beraksi sehingga usianya menjengah 60 tahun.

Satu pencapaian peribadi yang pastinya akan sentiasa meleburkan rekod serta sejarah bola sepak dan segalanya menjadi kisah luar biasa buat beliau sehingga ke hari ini.

Dia yang beraksi 89 kali untuk Jepun, memenangi Piala Asia 1992 adalah penjaring kedua terbanyak negaranya dengan 55 gol manakala penampilan antarabangsa terakhir pada 2000.