Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyedari bahawa keputusannya memanggil penyerang naturalisasi Guilherme De Paula ke kem latihan pusat sebagai menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 telah dikritik hebat oleh peminat bola sepak tempatan.

Walaupun De Paula jarang beraksi dalam saingan Liga Super pada musim ini, namun Kim Pan Gon mahu melihat sendiri aksi pemain kelahiran Brazil itu dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa yang telah diaturkan.

“Saya faham dan sedar ramai yang terkejut apabila beberapa nama pemain termasuk De Paula tersenarai. Ini adalah kali kedua saya memanggil pemain untuk kem latihan pusat jadi saya tidak mahu berasa menyesal kerana saya mahu lihat kekuatan yang ada pada pemain negara.

“Saya lebih berpuas hati kalau dapat lihat dengan mata sendiri prestasi kesemua pemain dalam dua perlawanan persahabatan akan datang ini. Seramai sembilan pemain baru turut dipanggil pada kali ini,” katanya.

FOTO: FAM

Berdasarakan senarai pemain yang dipanggil, Kim Pan Gon mengekalkan 20 pemain daripada pemain yang dibawa ke Singapura bagi dua perlawanan FAS-Tri Nations Series 2022 bertemu Filipina dan Singapura pada bulan Mac lalu.

Bagaimanapun, daripada 29 pemain yang dipanggil, hanya 23 pemain akan didaftarkan dalam senarai akhir bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 manakala baki pemain yang lain tetap perlu bersedia untuk dipanggil sekiranya terdapat perubahan dalam senarai akhir tersebut.

“Kita melihat hampir semua pemain secara langsung ataupun tidak langsung dan mungkin ada pemain yang kami tidak dapat lihat dalam liga tetapi saya percaya mereka berbakat. Sebab itulah kita panggil mereka untuk bersedia.

“Saya mahu mewujudkan suasana yang kompetitif supaya dapat melihat bagaimana reaksi dan profesionalisme pemain serta prestasi mereka. Ini perkara yang akan kita nilai nanti. Jadi, fahami dan terima keputusan ini,” katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun. Kemudian mereka akan menghadapi 3 perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun 2022) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Para penyokong masih boleh mendapat tiket semua perlawanan tersebut pada satu harga istimewa iaitu RM100 menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Tiket Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Sudah Mula Dijual

Sukan SEA: Dua Jaringan Luqman Bantu Malaysia Tewaskan Laos

Nooa Laine Tidak Akan Beraksi Di Sukan SEA

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil