Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu anak buahnya tampil lebih agresif untuk mencatat kemenangan ke atas Tajikistan pada aksi final Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini.
Baca Juga:
- Tiada Siaran Langsung Pestabola Merdeka 2023 Di Saluran RTM
- Pestabola Merdeka 2023: Jurulatih Tajikistan Minta Pengadil Lebih Bagus Pada Aksi Final
- Pestabola Merdeka 2023: Endrick Dos Santos Percaya Malaysia Mampu Muncul Juara
Malah, Pan Gon menyifatkan kemenangan sangat penting bagi mencapai sasaran berada dalam kelompok ranking FIFA 120 dunia.
“Sudah pastinya kita mahu menang kerana kita dalam laluan terbaik untuk mencapai ranking 120 terbaik dunia.
“Kita cukup agresif dan menguasai perlawanan cuma ada beberapa perkara harus diperbaiki supaya dapat mengekalkan keputusan positif.
“Pada perlawanan menentang Tajikistan pada final Piala Raja Thailand tahun lalu, kita hanya kalah penalti dan pada ketika itu hujan lebat,” katanya.
Kim Pan Gon juga turut menyifatkan final Pestabola Merdeka ini sebagai peluang terbaik untuk mereka menebus kekecewaan di final Piala Raja Thai yang menyaksikan Malaysia dikecewakan Tajikistan 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
“Pemain begitu bermotivasi tinggi untuk aksi final dan kita ada pengalaman menentang mereka di final Piala Raja Thai sebelum ini. Kami tiada memori yang baik sebelum ini dan pemain tidak sabar menantikan perlawanan ini.
“Kami bermain dengan sangat baik sebelum ini dan saya harap kami dapat terus memperagakan aksi yang terbaik bagi membuktikan bahawa kita adalah pasukan yang lebih baik daripada Tajikistan.
“Saya rasa kita pasukan yang lebih baik bukan dari segi taktikal tetapi dari segi semangat dan sikap yang ditunjukkan. Saya juga lihat taktikal kita semakin stabil dan memperagakan perlawanan yang menarik,” katanya.