Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memohon maaf kepada rakyat Malaysia apabila pasukannya gagal menjuarai Pestabola Merdeka 2023 selepas 0-2 kepada Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Baca Juga:
- Pestabola Merdeka 2023: Tajikistan Padamkan Impian Juara Malaysia
- Tiada Siaran Langsung Pestabola Merdeka 2023 Di Saluran RTM
- Pestabola Merdeka 2023: Tundukkan India 4-2, Malaysia Melangkah Ke Final
Menurutnya, pemain sudah memberikan segala-galanya cuma ia masih belum cukup untuk menterjemahkan kepada kemenangan.
“Sebagai jurulatih, saya ingin mohon maaf. Berdasarkan keputusan, kita bermain mengikut falsafah permainan kita, pasukan mendominasi permainan dan beraksi baik.
“Ada sedikit kesilapan dan kita akan perbaiki kelemahan itu, saya sentiasa tekankan mentaliti kemenangan,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Kim Pan Gon turut meminta rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya dan beliau sedia menerima apa jua kritikan.
“Semua keputusan adalah daripada saya bukan pemain. Kami berjuang demi nama Malaysia. Mereka hanya ikut arahan saya, kami serang, memberi tekanan dan cuba mendominasi perlawanan.
“Ini masa untuk kita tunjukkan sokongan kepada para pemain dan diharapkan peminat boleh melakukan perkara yang sama. Jika mahu menyerang (kritik), seranglah saya sahaja (bukan pemain). Kita menang bersama-sama, kalah bersama-sama,” tegas Kim Pan Gon.
Jurulatih dari Korea Selatan itu turut mengakui tidak dapat tidur lena sebelum perlawanan itu kerana memikirkan harapan tinggi yang diletakkan ke atas skuad Harimau Malaya.
Menurutnya, Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dari segi ranking dan corak permainan sejak dibawah bimbingannya. Peningkatan tersebut semakin menakutkannya.
“Pasukan menunjukkan peningkatan yang ketara, kita capai ranking 134 dengan cepat. Sudah tentu harapan tinggi dan saya akui tidak dapat tidur.
“Malah, sebelum final (menentang Tajikistan), saya tidak dapat tidur kerana fikir kita semua akan menang,” jelasnya.
Selepas ini, Malaysia akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan November depan.