Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menjadi orang yang paling gembira apabila pasukannya berjaya menewaskan India yang berada di ranking 102 dunia ketika aksi Pestabola Merdeka 2023 semalam.

Baca Juga:

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia mendahului 3-1 di separuh masa pertama hasil jaringan Dion Cools, Arif Aiman dan Faisal Halim sebelum Cobin Ong menambah derita India dengan gol keempat di separuh masa kedua sekaligus mencatat kemenangan 4-2.

“Saya sangat gembira mengalahkan pasukan ranking lebih tinggi seperti India. Pemain terus berlari dan berjuang untuk negara dan keluarga mereka.

“Saya amat bangga dengan pemain saya kerana kami sedar bahawa kami berada di ranking 134 dunia,” kata Kim Pan Gon dalam sidang media selepas perlawanan.

Padang SNBJ
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Jurulatih dari Korea Selatan itu turut mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya bahagian pertahanan apabila mereka melepaskan dua gol mudah.

“Kami mempunyai masalah di benteng pertahanan, jika kami tidak mengambil risiko, perlawanan mungkin berakhir dengan keputusan seri 0-0.

“Kalau anda mahukan mereka tidak melepaskan gol, saya boleh memadatkan benteng pertahanan tetapi kami mahu perlawanan yang menghiburkan,” jelas Pan Gon.

Malah, Pan Gon juga tidak terkejut dengan keadaan padang baharu jenis Zeon Zoysia yang dilihat masih belum matang sepenuhnya. Ia boleh disaksikan apabila terdapat kelompok rumput tercabut di beberapa bahagian padang.

“Ini perkara biasa. Padang baharu memerlukan masa dan kami memang sudah jangkakan perkara ini.

“Ketika sesi latihan, kami juga menghadapi masalah yang sama. Beri lebih masa, ia akan menjadi lebih baik selepas ini,” katanya.