Bekas penyerang skuad kebangsaan, Khalid Jamlus mempertahankan tindakannya yang menjual koleksi peribadi seperti pingat, jersi dan juga trofi kasut emas yang pernah dimenanginya.
Menurut laporan Stadium Astro, Khalid berkata tindakan beliau itu tidak menyalahi undang-undang dan beliau mengambil langkah tersebut bagi memastikan kelangsungan hidupnya beserta keluarga.
“Tindakan yang saya lakukan ini tidak menyalahi mana-mana undang-undang sebab saya buat apa yang saya rasa bersesuaian dan sepatutnya untuk hidup saya.
“Secara jujurnya, benda ini berlaku berpunca daripada PKP (perintah kawalan pergerakan) kerana sebelum itu saya ada terlibat menjadi duta FORCA.
“Buat apa saya nak tularkan perkara ini? pada dasarnya, saya buat sesuatu berdasarkan kata hati dan tidak menyalahi mana-mana pihak.
“Semuanya disebabkan faktor kehidupan, setelah tiga tahun tidak bekerja, saya terdesak,” kata Khalid.
Bekas penyerang Selangor itu turut menegaskan beliau sebelum ini memohon untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan beberapa pasukan. Namun hasrat beliau tidak tercapai.
“Sebagai ketua keluarga, saya telah mencuba bermacam-macam cara dan sudah menyuarakan hasrat untuk menjadi jurulatih pasukan Perak, Selangor dan FAM (Persatua Bolasepak Malaysia).
“Tetapi saya tidak nampak jalan itu dan tidak diberikan peluang dan ruang.
“Semuanya melibatkan wang, jadi kali ini, saya memilih untuk berjalan sendiri dan mengikut kata hati saya.
“Saya jual semua benda yang sudah pasti mempunyai nilai sentimental kepada saya. Semuanya hasil usaha dan keringat saya dan pasukan,” tambahnya.
Baca artikel lain mengenai Khalid Jamlus di sini:
Khalid Jamlus ‘Tolak’ Kasut Emas Pada Harga RM10,100 Melalui Bidaan LIVE Facebook
Aidil Zafuan Tegaskan Belum Ada Penyerang Miliki Kualiti Seperti Khalid Jamlus