Sebagai proses pemisahan daripada persatuan dan langkah untuk menjadi sebuah kelab bola sepak berstatus swasta bermula pada musim depan, semua pasukan diwajibkan menggunakan logo baharu sebagai lambang rasmi masing-masing.
Hari ini, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan pemenang utama pertandingan rekacipta logo baharu pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) iaitu Ku Basri Ku Halim yang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.
Logo tersebut menyerupai rekaan logo lama sebelum digantikan dengan lambang helang merah dan disertakan dengan slogan keramat pasukan itu, “Biar Jasa Jadi Kenangan”. Tahun 1924 yang tertera pada logo tersebut mewakili tahun penubuhan KFA.
Sebanyak 300 penyertaan telah diterima sejak bulan Oktober lalu. Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan tiada had penyertaan penjenamaan logo KDA.
Selain itu, setiap peserta juga wajib letak simbol 17 butir padi pada logo tersebut. Angka 17 diterjemah kepada jumlah rakaat dalam 5 waktu solat dalam sehari. Ia turut terdapat pada jata bendera negeri Kedah.
Bagaimanapun, KFA kemudian menjelaskan pihaknya masih tidak berpuas hati dengan kualiti hasil karya penyertaan yang telah diterima. Mereka juga kecewa kerana kebanyakan peserta tidak menghantar portfolio huraian terperinci mengenai rekaan logo tersebut dalam format PDF.
Menurut kenyataan rasmi, 90% penyertaan dikategorikan sebagai ‘joy participant’ yang belum mencapai tahap karya yang professional dan agak luar jangkaan sebenarnya jika dinilai kualiti dari tahap piawai.
Selepas tarikh tutup penyertaan pada 31 Oktober 2020, semua logo yang terpilih telah dipamerkan melalui laman facebook rasmi sebelum disenaraikan pendek kepada 20 logo yang terbaik untuk undian penyokong.
Terdapat beberapa logo menarik yang telah menjadi pilihan para penyokong Kedah, namun mereka mempersoalkan bagaimana logo rekaan pemenang utama yang langsung tiada dalam senarai 3 logo terbaik dipilih oleh KFA.
Isu pemilihan logo sentiasa kontroversi dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Diharapkan KFA dapat menjelaskan kepada penyokong setia kenapa logo tersebut menjadi pilihan utama berbanding 3 logo terbaik yang telah disenarai pendek.
Baca artikel lain mengenai isu logo pasukan Liga Malaysia yang pernah dilaporkan oleh Vocket FC sebelum ini melalui pautan dibawah.
Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat