Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengesahkan pihaknya akan menubuhkan Kelab Bola Sepak Kedah (FC Kedah) seawal tahun 2020 sebagai memenuhi syarat utama yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

FAM sebelum ini mewajibkan semua pasukan Liga Malaysia menukarkan status pasukan daripada FA kepada FC sebelum tahun 2021.

“FAM telah tetapkan syarat hanya kelab bola sepak yang berdaftar sahaja layak bersaing dalam Liga Profesional Malaysia mulai tahun 2021,”kata Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah.

Bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan AFC Champions League (ACL) musim depan, KFA telah menerima peruntukan sebanyak RM32 juta berbanding RM30.4 juta sebelum ini. 

Tambahan RM1.6 juta untuk musim depan adalah susulan penglibatan pasukan itu dalam saingan ACL tahun depan. Malah, mereka juga berada di peringkat akhir untuk membawa masuk beberapa penaja baharu. 

Mukhriz turut mendedahkan mereka merancang untuk menjadikan Stadium Sultan Abdul Halim sebagai hub bola sepak di bawah naungan KFA dan FC Kedah kerana ia merupakan lokasi strategik yang sudah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk pemain dan pengurusan.

FC Kedah juga hanya mengiktiraf satu kelab penyokong yang berdaftar secara rasmi.

”Pihak pengurusan KFA kini berada di peringkat akhir perbincangan untuk mendapatkan beberapa tajaan rasmi.

“Padang telah dibaiki dan pasukan juga menjalankan latihan di situ. Selain itu, Stadium Darul Aman juga akan berubah wajah di mana sebanyak RM5.8 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk kerja penambahbaikan,” katanya seperti dipetik dalam Bernama.

78546828_2914968421868949_6859877209180471296_o
FOTO: KFA

Bagi melahirkan lebih banyak ‘ubi muda’, KFA turut menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah diadakan sejurus selepas tamat sidang Kongres Tahunan KFA Kali ke-44 semalam.

Dalam perjanjian tersebut, Program Pembangunan Bolasepak Lang Muda Bawah 14 dan Bawah 17 akan diwujudkan. KFA akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dengan status Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong, Alor Setar sebagai hub kepada program ini.

Dengan kerjasama itu, pasukan Lang Muda Bawah 14 dan Bawah 17 akan turut bersaing dalam Liga Kementerian Pelajaran Malaysia musim 2020. Seorang Pengarah Pembangunan Belia (Youth Development Director) akan dilantik bagi mengetuai program KFA ini. Liga KPM dijangka bermula Mac ini.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Setiausaha Kehormat Perak FA Letak Jawatan Secara Rasmi

Liga Malaysia 2020: Pahang Bawa Masuk Dua Penjaga Gol Baharu

Liridon Krasniqi Dilihat Sedang Menjalani Latihan Bersama Pasukan JDT, Sedia Beraksi Untuk Harimau Malaya 2020?