Pemain tengah UiTM FC, Sean Gan Giannelli tetap puas apabila akhirnya berjaya menyumbat gol peribadi bersama pasukan meskipun perlu menanti agak lama untuk kembali bangkit selepas mengharungi musim yang agak hambar.
Pemain berusia 25 tahun ini telah meledak tiga gol setakat ini sejak dipinjamkan ke UiTM FC daripada Kuala Lumpur City FC pada pertengahan musim sekali gus berjaya untuk sekurang-kurangnya membuktikan kemampuan selepas diketepikan dalam kesebelasan utama sebelum ini.
Apa yang penting, keputusannya untuk beraksi bersama UiTM FC sememangnya tepat bagi mendapatkan minit permainan yang lebih lama dan ternyata, aksinya berjaya membantu pasukan raih dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan terdahulu.
Walaupun sudah hampir ke penghujung musim, bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ini tidak merasakan sudah terlambat untuknya terus mempersembahkan aksi cemerlang di samping mengharapkan kariernya pada musim depan juga akan lebih baik.
“Apabila saya buat keputusan untuk berhijrah secara pinjaman ke UiTM memang ada juga rasa tekanan untuk berikan yang terbaik sebab biasalah apabila kita bertukar kelab, kalau boleh nak tunjuk yang kita mampu bermain dengan baik.
“Jadi, saya tidak nafikan ada sedikit tekanan tetapi barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan sangat membantu untuk saya menyesuaikan diri dengan pasukan ini.
“Memanglah kalau boleh nak bermain lebih banyak lagi sebab ada tiga perlawanan sahaja lagi selepas ini, cuma saya gembira dengan keputusan untuk dipinjamkan ke sini dan sekurang-kurangnya saya dapat buktikan apa yang saya ada pada musim ini, dan bukannya sekadar menunggu untuk musim depan”, katanya kepada MFL.
Pemain tengah @uitmfclions, Sean Gan Giannelli telah meledak tiga gol setakat ini sejak dipinjamkan ke UiTM FC daripada Kuala Lumpur City FC pada pertengahan musim sekali gus berjaya untuk sekurang-kurangnya membuktikan kemampuan.#LigaSuper2021
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 1, 2021
Sepanjang beraksi bersama Kuala Lumpur pada awal musim ini, Sean hanya beberapa kali sahaja diturunkan sebagai pemain gantian dan paling lama beraksi hanya untuk 22 minit baki perlawanan sahaja.
Berbaki tiga lagi perlawanan sebelum berakhir saingan Liga Super 2021, dia berharap mampu untuk menambah jaringan peribadi selain ingin memastikan pasukan tidak lagi tercicir mata untuk cuba keluar daripada zon penyingkiran.
“Saya memang nak cuba meledak jaringan lagi tetapi yang paling penting adalah untuk bantu pasukan perbaiki kedudukan.
“Pasukan kena kekalkan momentum ini sebab kita tidak tewas dalam tiga perlawanan terdahulu, jadi penting untuk kita pastikan tiga aksi terakhir nanti tidak lagi kalah, jadi saya akan cuba yang terbaik bantu pasukan”, tambahnya.
UiTM FC ketika ini di tangga tercorot Liga Super dengan 9 mata dan peluang mereka untuk cuba keluar daripada zon penyingkiran masih ada walaupun tipis dengan mengharapkan pasukan seperti Perak FC dan Sri Pahang FC tercicir mata dalam aksi akan datang.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Kedah Hadapi Tok Gajah Tanpa Kelibat Rabih Ataya Dan Kpah Sherman
Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports
Kalah Besar Berdepan UiTM, Kurniawan ‘Direhatkan’ Berkuatkuasa Serta-Merta
MFL: Naib Juara Liga Super Dan Juara TM Piala Malaysia Akan Terima Slot Ke Kejohanan AFC Cup 2022