Ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt tanpa berselindung mengakui kekecewaannya terhadap penyudah kurang berkesan ditampilkan anak buahnya sehingga menyebabkab skuad Yob kecundang 0-2 di tangan Terengganu FC (TFC), malam tadi.
Meskipun Perak mendominasi sebahagian besar aksi di babak kedua, jentera serangan yang diketuai pemain naturalisasi, Guilherme De Paula jelas mengecewakan kem tuan rumah.
Susulan dengan itu, Yee Fatt dan anak buahnya melangkah keluar dari Stadium Perak dengan penuh hampa susulan jaringan pada minit ke-24 dijelmakan Mohamad Faisal Abdul Halim dan gol menarik di minit akhir permainan daripada Dechi Marcel N’Guessan.
Melihatkan kepada perkembangan terkini itu, Yee Fatt mahu anak buahnya bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Cheras, Rabu nanti.
“Saya akui memang sedikit kecewa walaupun pada babak pertama permainan kami agak kurang tersusun dan itu menjadi sebab pihak lawan dapat menghasilkan jaringan.”
“Di separuh masa kedua, permainan kita berubah dan kita memperoleh beberapa peluang tetapi nasib tidak menyebelahi untuk kita menjaringkan gol.”
“Kita memerlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dan saya fikir akan ada penambahbaikan daripada pelbagai sudut untuk pastikan kita tidak keciciran mata pada perlawanan itu,” ujar Yee Fatt menurut laporan dikeluarkan Bernama.
Dengan kekalahan tersebut, Perak ketika ini menduduki tangga ketujuh selepas mengumpul tujuh mata bersama-sama empat lagi pasukan iaitu Selangor, Kedah Darul Aman (KDA), KL City dan Penang FC.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Nafuzi Tidak Berminat Bersaing Dengan JDT, Tegaskan Perjalanan Liga Masih Panjang