Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan optimis bahawa skuad kebangsaan Indonesia mampu untuk meraih kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020 yang akan membuka tirainya pada 5 Disember ini.

Keyakinan itu disuarakan Iriawan selepas ketua jurulatih, Shin Tae-yong mengumumkan senarai lengkap 30 orang pemain yang akan membawa cabaran skuad ‘Garuda’ itu di Singapura nanti.

Antara nama besar yang disenaraikan pengendali kelahiran Korea Selatan itu ialah pemain-pemain berkelana di luar negara seperti Egy Maulana Vikri (Slovakia), Elkan William Tio Baggott (England), Asnawi Mangkualam (Korea Selatan) dan Witan Sulaeman (Poland).

Dua pemain yang merasai pengalaman di Liga Malaysia pada musim ini iaitu pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahrian Abimanyu dan tonggak pertahanan Penang FC, Ryuji Utomo turut disenaraikan.

“Setelah menjalani perlawanan persahabatan dan melakukan sesi latihan pusat di Turki, prestasi pasukan kebangsaan terus meningkat,” ujar Iriawan menurut kenyataan dikeluarkan di laman sesawang rasmi PSSI.

“Itu laporan Shin Tae-yong dan Pengarah Teknikal PSSI, Indra Sjafri kepada saya. Mereka [para pemain] sudah bersiap sedia beraksi untuk memberikan yang terbaik buat bangsa dan negara ini.”

Mochamad Iriawan. Kredit Foto: PSSI

“Ini merupakan kombinasi pemain yang bagus. Rata-rata usia pemain dalam skuad ini masih muda. Saya yakin masa depan pasukan ini akan cerah. Saya sebagai Ketua Umum PSSI pastinya akan menyokong mereka berhabis-habisan.”

“Saya dan beberapa Exco PSSI juga akan berangkat ke Singapura untuk menyokong mereka. InsyaAllah mereka mampu untuk menjadi juara.”

“Sudah terlalu lama kita tidak menjadi juara. Kini adalah saat yang terbaik buat kita. Mari kita doakan yang terbaik agar pemain skuad kebangsaan Indonesia mampu menjadi juara Piala AFF kali ini,” tambah Iriawan lagi.

Kali terakhir Indonesia menjuarai saingan di peringkat Asia Tenggara (ASEAN) adalah pada Sukan SEA 1991.

Manakala di pentas Piala AFF pula, Indonesia merupakan pasukan kedua yang paling banyak membuat penampilan di perlawanan akhir. Namun, lima aksi di pentas final melibatkan negara jiran tetangga Malaysia itu kesemuanya berakhir sebagai naib juara.

Berikut merupakan 30 pemain Indonesia dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020:

Penjaga Gol
1. Muhamad Riyandi (Barito Putera)
2. Nadeo Arga Winata (Bali United)
3. Ernando Ari Sutaryadi (Persebaya)
4. Syahrul Trisna Fadillah (Tira Persikabo)

Pertahanan
5. Fachruddin Aryanto (Madura United)
6. Victor Chukwuekezie Igbonefo (Persi)b
7. Ryuji Utomo Prabowo (Penang FC – Pinjaman)
8. Alfeandra Dewangga Santosa  (PSIS)
9. Elkan William Tio Baggott (Ipswich Town)
10. Pratama Arhan Alif Rifai (PSIS)
11. Moh. Edo Febriansah (Persita)
12. Rizky Ridho Ramadhani (Persebaya)
13. Rizky Dwi Febrianto (Arema FC)
14. Asnawi Mangkualam (Ansan Greeners)
15. Marckho Sandi Merauje (Borneo FC)

Tengah
16. Evan Dimas Darmono (Bhayangkara FC)
17. I Kadek Agung Widnyana Putra (Bali United)
18. Rachmat Irianto (Persebaya)
19. Ahmad Agung Setia Budi (Persik Kediri)
20. Ricky Richardo Kambuaya (Persebaya)
21. Syahrian Abimanyu (Johor Darul Ta’zim)
22. Irfan Samaling Kumi (PSS Sleman)
23. Ramai Melvin Rumakiek (Persipura)
24. Witan Sulaeman (Lechia Gdanks)
25. Egy Maulana Vikri (FK Senica)
26. Yabes Roni Malaifani (Bali United)

Penyerang
27. Kushedya Hari Yudo (Arema FC)
28. Dedik Setiawan (Arema FC)
29. Hanis Saghara Putra (Tira Persikabo)
30. Ezra Harm Ruud Walian (Persib)

Sumber