Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir sedia memberikan bonus kepada para pemain skuad kebangsaan Indonesia jika mereka berjaya mencatat keputusan seri dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Argentina malam ini.

Ini adalah perlawanan tumpuan peminat bola sepak asia tenggara kerana pasukan kendalian Shin Tae-yong itu akan menguji juara Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno.

Erick menyifatkan keputusan seri sudah cukup membanggakan kerana bukan mudah untuk menentang pasukan ranking nombor satu dunia yang dibarisi oleh ramai pemain berkualiti.

Justeru itu, beliau janji akan memberi bonus kepada para pemain jika berjaya mengikat skuad La Albiceleste itu.

“Saya mahu seri walaupun tidak mudah. Kalau seri, dapat bonus,” kata Erick dipetik dalam CNN Indonesia. 

“Kalau menang, waduh. Timnas luar biasa,” tambahnya.

Sementara itu, pengendali Indonesia, Shin Tae-yong yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk melakar kejutan dalam perlawanan menentang Argentina.

Beliau pernah membimbing skuad Korea Selatan menewaskan Jerman, 2-0 di saingan Piala Dunia 2018 namun kali ini sukar kerana Indonesia tidak sekuat Korea Selatan.

“Saya pun ingin memberi kejutan sejujurnya. Tetapi bukan saya yang melakukan kejutan, pemain sediri yang perlu menunjukkannya di atas padang,” kata Shin Tae-yong.

“Memang saya pernah pegang Korea Selatan dan menang lawan Jerman di Piala Dunia Rusia 2018. Tapi waktu itu Korea di ranking 50 dunia, kita Indonesia ranking 149.

“Mungkin sukar untuk menang dan saya jadikan perlawanan ini sebagai persiapan pemain. Mereka boleh belajar lebih banyak dan pemain Indonesia akan semakin meningkat,” jelasnya.

Argentina kali ini hadir tanpa kelibat tiga bintang mereka iaitu Lionel Messi, Angel Di Maria dan Nicolas Otamendi.

Ketiga-tiga pemain tersebut sempat beraksi dalam perlawanan menentang Australia khamis lepas dan kemudian diberikan cuti selepas mereka mengharungi musim yang sangat panjang di Eropah.