Kehangatan Piala Dunia Futsal 2021 di Lithuania sudah mula dirasai walaupun aksi baharu memasuki saingan hari ketiga pada malam ini.
Ketiadaan Malaysia dalam kejohanan tersebut bagaimanapun tidak menghalang peminat futsal tanah air untuk menikmati aksi berkelas dunia yang ditampilkan dengan siaran langsung yang disiarkan di saluran Astro.
Seperti dilaporkan sebelum ini, negara jiran iaitu Thailand dan Vietnam sekali lagi berjaya melayakkan diri dan awal pagi tadi menyaksikan kedua-dua pasukan tewas pada perlawanan pertama mereka.
Dalam ribuan peminat yang menyaksikan perlawanan-perlawanan hebat ini pasti ada yang masih kurang arif dengan peraturan permainan. Ia sememangnya terdapat peraturan yang berbeza.
Di kesempatan ini Vocket FC ingin berkongsikan kepada anda mengenai beberapa peraturan asas dalam futsal yang mampu untuk membantu anda sekiranya menyaksikan perlawanan Piala Dunia di kaca televisyen.
20 minit masa permainan
Perlawanan futsal melibatkan dua separuh masa permainan dimana setiap separuh masa selama 20 minit masa bermain yang sebenar.
Untuk pengetahuan anda, waktu permainan akan dihentikan setiap kali bola keluar atau permainan berhenti melibatkan insiden pergaduhan, kecederaan atau sebarang masalah teknikal.
Masa permainan akan disambungkan semula sebaik sahaja permainan kembali berlangsung. Oleh itu, tiada istilah melambatkan masa dalam sukan ini.
2) Time out
Setiap pasukan akan mendapat satu minit ‘time out’ dalam setiap separuh masa. Tiada ‘time out’ sekiranya perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
3) Penggantian pemain tanpa had
Setiap pasukan yang beraksi terdiri daripada tidak lebih daripada lima orang pemain (penjaga gol dan empat pemain di gelanggang) dan sembilan orang pemain simpanan. Tiada sekatan ke atas bilangan penggantian yang dibuat semasa perlawanan.
Gantian pemain boleh dibuat pada bila-bila masa, sama ada bola berada dalam permainan atau tidak. Namun, gantian pemain perlu dibuat hanya dalam zon penggantian yang telah ditanda khas.
4) Penggantian pemain dibuang padang
Sekiranya seseorang pemain menerima kad merah, pemain gantian masih boleh menggantikan pemain yang dibuang padang.
Namun, pasukan tersebut perlu menunggu selepas dua minit pemain tersebut dibuang padang atau pasukan lawan menjaringkan gol (yang mana berlaku terlebih dahulu).
5) Penjaga Gol
Penjaga gol hanya mempunyai masa empat saat untuk memegang mahu pun mengawal bola dalam kawasan sendiri.
Penjaga gol juga tidak boleh menyentuh kembali bola sekiranya hantaran dilakukan rakannya tanpa disentuh pihak lawan.
6) Kesalahan terkumpul dan sepakan penalti kedua (second spot penalty)
Sekiranya sesebuah pasukan telah melakukan enam kesalahan yang dihukum dengan sepakan percuma terus dalam permainan, pasukan lawan akan diberikan sepakan penalti kedua (second spot).
Sepakan boleh diambil sama ada dari tanda sepakan penalti kedua, yang berada pada kedudukan 10 meter dari garisan gol atau dimana kesalahan keenam atau seterusnya dilakukan mengikut kehendak pasukan yang akan melakukan sepakan tersebut.
Sebagai contoh, sekiranya salah satu pasukan telah melakukan enam kesalahan dan kemudiannya terdapat lagi kekasaran dilakukan, bermakna pasukan lawan akan mendapat sepakan penalti ‘second spot’ sehinggalah tamat satu-satu separuh masa.