Warna kasut bola sepak (but) model baharu keluaran jenama terkenal dunia, adidas iaitu X Speedportal nampaknya tidak begitu disenangi para penyokong setia ‘Ultras’ Olympique Lyon.
Hal ini kerana kasut yang hadir dengan warna hijau itu digunakan oleh sebahagian besar pemain kelab tersebut seperti Rayan Cherki, Moussa Dembele, Anthony Lopes, Malo Gusto, Castello Lukeba, Johann Lepenant, Tete, Houssem Aouar dan Karl Toko Ekambi.
Hijrah Ke Lyon Jadikan Juninho Pernambucano Pakar Sepakan Percuma
Keadaan tersebut menyebabkan Ultras kelab yang kini menghuni tangga keempat Ligue 1 2022/23 itu mengangkat sepanduk meminta supaya pemain mereka tidak lagi memakai kasut berwarna hijau.
Sepanduk yang diangkat pada perlawanan liga bertemu Troyes, minggu lalu itu memberikan mesej jelas kepada pemain supaya mereka menghormati tradisi kelab tersebut.
Apa masalahnya dengan warna hijau?
Hijau sememangnya tidak digemari oleh penyokong Lyon kerana ia merupakan warna rasmi serta cukup sinonim dengan musuh ketat mereka, Saint Etienne.
Perseteruan hebat antara Lyon dan Saint Etienne bukanlah perkara baharu dalam kancah bola sepak di Perancis kerana penyokong kedua-dua pasukan sering berbalah setiap kali bertemu.
Malah, Derbi Rhone-Alpes yang telah berlaku bermula tahun 1951 itu juga turut dipengaruhi dengan kesan sosial melibatkan kedua-dua tempat.
Lyon dianggap sebagai bandar saudagar manakala Saint Etienne pula bandar perlombongan arang batu. Lebih tepat lagi kisah klasik dua bandar yang jaraknya kurang daripada 50 batu ini boleh diibaratkan sebagai ‘orang kaya menentang orang miskin’.
Keghairahan kedua-dua penyokong dalam memberikan sokongan ketika Derbi Rhone-Alpes juga cukup menarik dengan pelbagai provokasi seperti ejekan di sepanduk dan nyanyian ‘chant’ serta turut pernah bergaduh ketika perlawanan masih berlangsung.
Pada tahun 2017, Nabil Fekir pernah mencetuskan kontroversi apabila melakukan keraian jaringan dengan menunjukkan jersinya kepada penyokong Saint Etienne sehingga menyebabkan beberapa penyokong lawan merusuh dan ada diantara mereka berlari masuk ke dalam padang.
Kredit Featured Image: Olympique Lyonnais – OL