Mexico benar benar komited dalam usaha mahu memastikan rakyatnya dapat menikmati dan memeriahkan suasana Piala Dunia yang akan dianjurkan di negara mereka tidak lama lagi.
Dalam satu pengumuman mengejutkan dan mungkin juga akan dicemburui jutaan pelajar di negara lain, Kerajaan Mexico secara rasmi memutuskan untuk menamatkan sesi persekolahan 40 hari lebih awal daripada jadual asal.
Keputusan luar biasa ini dibuat hanya seminggu sebelum sepak mula rasmi Piala Dunia 2026 pusingan akhir bermula.
Cuti Panjang Hampir 3 Bulan!
Oleh kerana keputusan tersebut, cuti sekolah musim panas di Mexico akan bermula secara rasmi pada 5 Jun dan hanya akan berakhir pada 31 Ogos depan.
Ini bermakna, anak-anak muda di Mexico bakal menikmati cuti panjang selama hampir tiga bulan berturut-turut!
Menurut kenyataan rasmi, langkah drastik ini diperkenalkan dengan satu tujuan murni – supaya kanak-kanak dan pelajar di seluruh Mexico dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dan menikmati setiap detik kehangatan Piala Dunia.
Ini kerana negara mereka merupakan salah satu daripada tiga negara hos bersama (bersama Amerika Syarikat dan Kanada).
Kerajaan Mexico mahu memastikan generasi muda mereka tidak terlepas peluang keemasan menyaksikan kejohanan berprestij ini di tanah air sendiri.
Ia juga diharap dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan sukan bola sepak yang semakin luntur di kalangan generasi muda hari ini.
Mexico & Piala Dunia
Ini bukan kali pertama Mexico menjadi hos. Negara ini memegang rekod sebagai negara pertama yang diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Piala Dunia sebanyak tiga kali (1970, 1986, dan 2026).
Dengan pengumuman cuti sekolah ‘luar biasa’ ini, atmosfera di Mexico pastinya akan menjadi paling meriah, dengan Stadium Azteca yang ikonik sedia menjadi saksi satu lagi lipatan sejarah bola sepak dunia.
Bagi pelajar di Mexico, ini pastinya tahun persekolahan yang paling tidak akan dilupakan!