Saingan J. League yang bakal bersambung semula pada 4 Julai ini kemungkinan akan berlangsung dengan kehadiran penyokong di setiap stadium.
Isnin lepas, kerajaan Jepun dalam satu kenyataan membenarkan kemasukan penyokong ke dalam stadium untuk sukan yang melibatkan kehadiran orang ramai seperti besbol dan bola sepak.
Perkembangan itu disahkan oleh persatuan besbol profesional Jepun dan badan pengendali J. League dalam sidang media selepas mengadakan perbincangan bersama pakar perubatan.
“Kita harus mempertimbangkan sepenuhnya situasi semasa tetapi kita mendapat makluman daripada pegawai kerajaan bahawa kita boleh membenarkan penonton masuk (ke stadium),” kata pesuruhjaya besbol, Atsushi Saito seperti dipetik dalam laman web AFC.com
Hanya 5,000 penonton sahaja dibenarkan masuk ke dalam stadium atau 50 peratus dari kapasiti, yang mana jumlahnya lebih kecil dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan penjarakan sosial.
Penyokong juga diwajibkan memakai pelitup muka, mencuci tangan dan mengelak dari menjerit.
Meskipun kerajaan sudah memberikan kebenaran rasmi, namun beberapa kelab J.League tetap memeriahkan stadium dengan memasang kepingan kadbod yang dicetak dengan gambar penyokong untuk memberi semangat tambahan kepada pemain.
“Mereka telah melakukan kerja yang bagus. Saya pun beli sekeping kerana saya mahu memberi sokongan kepada kelab. Saya gembira dapat kembali menonton bola sepak lagi,” kata penyokong setia Albirex yang berusia 28 tahun.
Selain Albirex Niigata, kelab J. League 1 iaitu Sagan Tosu dan Oita Trinita turut mengumumkan pemasangan kadbod penyokong di stadium masing-masing. Vegalta Sendai juga merancang untuk meletakkan maskot rasmi di setiap tempat duduk.
Bagaimanapun, format J.League kali ini diubah dengan setiap pasukan akan menentang lawan yang terdekat untuk mengurangkan tempoh perjalanan dan beberapa langkah lain akan diperkenalkan untuk mengurangkan risiko dijangkiti wabak pandemik.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Jepun melalui pautan dibawah.
J League Bersambung Pada 4 Julai, Kelab Sudah Mula Menjalani Latihan
Hadi Fayyadh Teruja Dilantik Secara Rasmi Sebagai Duta Pelancongan Prefektur Okayama