Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh mengakui Jepun merupakan destinasi tepat untuk dijadikan aspirasi buat kontinjen negara dalam Program Road To Gold (RTG) bagi memburu pingat emas Sukan Olimpik 2024 yang bakal berlangsung di Paris, Perancis.

Hannah yang juga merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Road To Gold (RTG) berpendapat sedemikian apabila melihatkan kepada pencapaian negara matahari terbit itu memenangi banyak pingat emas dalam temasya berprestij dunia tersebut.

Sehubungan dengan itu, kepakaran Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo ditagih Jawatankuasa RTG untuk berkongsikan kepakaran sekali gus membantu atlet negara.

“Apabila saya pergi ke universiti mereka (merujuk kepada NSSU), galeri Dewan Kemahsyuran mereka sahaja menampilkan lebih 40 pemenang pingat emas di peringkat universiti.”

“Bayangkan kita di peringkat negara masih memburu emas pertama. Mereka adalah pakar,” ujar Hannah Yeoh menurut sumber laporan Bernama.

Menurut Bernama lagi, Presiden NSSU bersedia untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap atlet negara yang berada dalam senarai projek RTG.

Jepun sememangnya merupakan antara negara Asia yang cemerlang di pentas Sukan Olimpik apabila telah memenangi keseluruhan 169 pingat emas, 150 perak dan 178 gangsa.

Sukan judo, gusti, gimnastik dan renang menjadi antara penyumbang terbesar dimana telah memenangi lebih 20 pingat emas sejak temasya tersebut bermula pada tahun 1912 di Stockholm, Sweden.

Seperti diketahui, program RTG dibentuk oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk bekerjasama dengan Program Podium dalam memberikan tumpuan khusus kepada atlet elit menjadi antara prospek menyumbang pingat di Sukan Olimpik 2024 dan 2028.

Fokus utama projek nasional yang turut diketuai bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria itu bakal meliputi aspek latihan harian, latihan intensif di luar negara, menyediakan khidmat jurulatih dan kakitangan sokongan, sains sukan, perubatan serta program jati diri.

Datuk Hamidin dan Datuk Nicol Ann David bertemu pemain badminton negara yang tersenarai dalam Program RTG. Kredit Foto: Media CDM Olimpik Paris 2024

Dalam senarai 15 atlet awal yang terpilih menyertai program RTG, 11 daripada merupakan pemain badminton iaitu Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sing-Teo Ee Yi, Pearly Tan-M. Thinaah, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Sementara itu empat lagi atlet ialah Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom (berbasikal trek) serta gandingan terjun, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Bagi menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin akan bertindak selaku ketua kontinjen (Chef de Mission) sambil dibantu legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Sumber