Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah mengambil keputusan drastik dengan mengeluarkan skuad goki lelaki dan dua gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie daripada program tersebut.

Keputusan tersebut diambil dalam mesyuarat kali ketiga sejak program tersebut ditubuhkan pada Mac lalu dalam usaha memberikan tumpuan khusus kepada atlet elit menjadi antara prospek menyumbang pingat di Sukan Olimpik 2024 dan 2028.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan, pasukan hoki lelaki dikeluarkan daripada program tersebut ekoran kegagalan meraih pingat emas Sukan Asia di Hangzhou tempoh hari.

Skuad kendalian Arul Selvaraj itu bukan sahaja gagal menepati sasaran malah turut tidak berupaya melepasi peringkat kumpulan dimana kesannya mereka kini jatuh ditangga ke-12 ranking dunia.

Bagaimanapun terdapat ‘talian hayat’ buat pasukan ini untuk kembali diserapkan ke program sekiranya layak ke Sukan Olimpik  dimana perlu melalui pusingan kelayakan di Muscat, Oman pada 15 hingga 21 Januari 2024 atau Valencia, Sepanyol.

Manakala, jawatankuasa RTG mempunyai alasan kukuh untuk menyingkirkan dua beregu campuran ekoran prestasi hambar yang menyaksikan Kian Meng-Pei Jing jatuh ke tangga ke-23 dalam senarai kelayakan Olimpik manakala Soon Huat-Shevon pula di kedudukan ke-17.

Sekiranya kedua pasangan ini mengubah nasib mereka sama ada – menjadikannya sebagai beregu pasangan terbaik negara dalam kelompok lapan teratas, atau layak sebagai pasangan beregu Malaysia dengan kedudukan tertinggi dalam 16 teratas ranking Race To Paris – jawatankuasa akan menyemak keputusan semula mengenai kemasukan mereka.

Sementara itu sandaran dalam acara angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan menjadi atlet terbaharu diserapkan ke program RTG selepas mengambil kira prestasinya berada di kedudukan ke-10 dalam ranking Olimpik yang merupakan sebahagian daripada kriteria RTG dan hanya berusia 21 tahun pada masa ini.

Beliau mencatatkan ‘personal best’ 291kg dimana hanya kurang 3kg dengan pencapaian pemenang pingat gangsa Olimpik 2020 iaitu 294 kg.

Berikut merupakan senarai atlet yang berada dalam program RTG:

Aaron Chia (Badminton)
Soh Wooi Yik (Badminton)
Pearly Tan (Badminton)
M.Thinaah (Badminton)
Chen Tang Jie (Badminton)
Toh Ee Wei (Badminton)
Ng Tze Yong (Badminton)
Lee Zii Jia (Badminton)
Ong Yew Sin (Badminton)
Teo Ee Yi (Badminton)
Datuk Azizulhasni Awang (Basikal Trek)
Shah Firdaus Sahrom (Basikal Trek)
Datuk Pandelela Rinong (Terjun)
Nur Dhabitah Sabri (Terjun)
Mohamad Aniq Kasdan (Angkat Berat)