Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan jenama sukan dari Sepanyol, KELME sebagai penaja rasmi kit skuad Projek FAM-MSN untuk tempoh dua tahun.
Perjanjian penajaan bernilai RM500,000 itu telah ditandatangani antara Pengurus Pasukan Skuad Projek FAM-MSN, Encik Mohd Joehari Mohd Ayub dan Pengarah KELME, Encik Choong Tuck Wai di Wisma FAM, pagi ini.
Kesemua kit tajaan KELME memelihara elemen warna tradisi pasukan bola sepak kebangsaan iaitu hitam dan kuning pada jersi ‘home’ dan ‘away’ serta merah dan hitam pada jersi ketiga, sekali gus menyerlahkan gaya eksklusif.
Naib Presiden FAM, Mohd Joehari menyifatkan kerjasama pertama antara Skuad Projek FAM-MSN dan KELME ini sebagai satu permulaan yang positif dengan melihat jenama ternama Sepanyol ini beralih fokus terhadap pembangunan pemain belia di Malaysia dan berharap lebih banyak syarikat korporat akan tampil untuk menyokong pembangunan bola sepak di negara ini.
“Menerusi sokongan daripada pihak KELME ini, saya yakin ia dapat membantu kami dalam mencapai matlamat pasukan, sudah tentu dengan bantuan daripada pihak MSN.
“Fokus utama pasukan ini di dalam Liga Premier adalah tentang pendedahan dan memberikan peluang untuk mengumpul pengalaman buat anak-anak muda ini beraksi di peringkat teratas liga bola sepak Malaysia selain memberi peluang untuk mereka bersedia bagi menghadapi Sukan Sea 2021 di Hanoi, November ini,” katanya.
Ketua Jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah, menyifatkan tajaan daripada KELME ini menaikkan semangat para pemainnya untuk menampilkan aksi terbaik dalam saingan Liga Premier musim ini.
“Saya percaya dengan adanya jersi berkualiti tinggi tajaan KELME ini, ia dapat menaikkan lagi semangat pemain-pemain saya untuk memulakan aksi sulung Liga Premier menentang Terengganu FC II, 6 Mac ini.
“Kita sudah berjaya memuktamadkan 30 pemain berusia antara 18 dan 19 tahun dan sudah pun memulakan latihan pasukan.
“Perasaan gementar itu sudah tentu biasa lebih-lebih lagi untuk pemain-pemain muda ini kerana bakal beraksi di tahap yang tinggi, jadi penilaian prestasi saya terhadap anak-anak muda ini masih awal.
“Namun begitu, kesungguhan mereka ketika di atas padang harus dipuji kerana mereka memberikan 100% komitmen ketika berlatih. Saya berharap penyokong-penyokong bola sepak negara dapat memberikan mereka sokongan setaraf sokongan terhadap pasukan-pasukan negeri dan pasukan kebangsaan,” kata Yusri.
Perjalanan KELME sebagai syarikat peralatan serta pakaian sukan bermula sejak 1990-an di Amerika Syarikat dan sebahagian besar Eropah dan mula bertapak di dalam pasaran Malaysia sejak dua tahun lalu. Antara kelab-kelab bolasepak gergasi yang pernah ditaja oleh KELME adalah Real Madrid C. F., RCD Espanyol dan Villareal C. F.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Lebih 5000 Helai Jersi Terengganu FC Telah Terjual, Jersi ‘Away’ Paling Laris
Thomas Dooley Terkejut Melihat Fasiliti Latihan Sri Pahang FC Yang Sangat ‘Miskin’
Tidak Sampai Satu Jam, Jualan ‘Online’ Jersi JDT 2021 Sudah Habis Dijual
Tan Sri Annuar Musa Dilantik Sebagai Presiden Kuala Lumpur United