Pemain Pahang Rangers, Saiful Nizam Mohd Ali mengakui masih belum masanya buat para pemain untuk meraikan kejayaan menang 4-3 ke atas Selangor MAC pada separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 yang berlangsung kelmarin.
Baca Juga:
- Akmarulnizam Tagih Sokongan Padu Penyokong Pahang Rangers Hadapi Selangor MAC
- Menuju Separuh Akhir MPFL 2023, Peluang Terbuka Luas Buat JDT & Pahang Rangers
- Gerard Casas Gembira Sergio Jamur Beri Impak Pantas Bantu Pahang Rangers
Kemenangan keatas juara bertahan itu dilakarkan dihadapan penyokong setia Pahang Rangers yang memenuhi segenap ruang Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan.
Aksi yang cukup menarik ditampilkan kedua-dua pasukan dengan saling berbalas serangan serta kejar mengejar gol. Malah, intensiti tinggi perlawanan tersebut turut menyaksikan pemain import Selangor MAC, Ali Ebrahimi dilayangkan kad merah.
Namun, Saiful Nizam melihat kelebihan satu gol dimiliki itu nyata masih belum selamat apatah lagi mereka akan berkunjung ke Shah Alam pada hujung minggu ini bagi menghadapi aksi kedua.
“Ia perlawanan yang sangat sengit dan mendebarkan, suasana pada hari ini sangat berbeza berbanding aksi sebelumnya. Sorakan hebat penyokong membantu kami bangkit, pemain menunjukkan kekuatan mentaliti dan berjaya memenangi perlawanan.
“Tetapi ini bukan masa untuk kami bergembira, kerana kelebihan satu gol sangatlah tidak selamat. Selangor akan cuba memanfaatkan kelebihan bermain di Shah Alam untuk bangkit, kita perlu gunakan masa yang ada untuk melihat dan membetulkan kesilapan.
“Lagipun, kita sedar Selangor berjaya membawa pulang tiga jaringan di tempat lawan yang pastinya satu kelebihan besar buat mereka tetapi kami berjanji tidak akan leka dan memastikan sasaran final dapat direalisasikan,” ujar Saifulnizam yang menggalas tanggungjawab kapten berikutan ketiadaan Akmarulnizam Idris yang cedera.
Dalam aksi berbalas jaringan menarik dan menghiburkan di hadapan lebih 3,000 penyokong, ianya Selangor MAC yang terlebih dahulu di depan pada minit ke-14 menerusi penyudah kapten pasukan Fariq Mohamad.
Namun kelebihan itu hanya bertahan dua minit, apabila bintang muda meningkat naik Mahadir Harahap menyempurnakan umpanan Farhan Khairul Anuar untuk gol penyamaan yang sekaligus membuatkan stadium bergema dengan sorakan.
Tonggak import dari Brazil, Sergio Jamur kemudiannya melakukan rembatan padu yang menewaskan Syawal Sabaruddin di gawang Selangor MAC sekaligus memastikan kelebihan 2-1 buat tuan rumah di separuh masa pertama.
Lima minit bersambung babak kedua, penjaring terbanyak MPFL 2023 Ali Ebrahimi menjadikan kedudukan 2-2 namun belum sempat Selangor MAC bergembira, pemain kebangsaan Ridhwan Bakri kembali meletakkan Pahang Rangers di depan 3-2 seminit kemudian.
Matheus Silva kemudiannya mengikat kedudukan 3-3 setelah percubaan cantiknya gagal diselamatkan Zainulzahin Sinuan pada minit ke-28.
Dengan kedua-dua pasukan saling menyerang, perlawanan bertambah rancak dan Selangor MAC menerima tamparan hebat apabila kehilangan khidmat Ebrahimi yang dilayangkan kad merah pada minit ke-29.
Pahang Rangers mengambil alih dominasi dengan melancarkan serangan bertali arus selepas itu dan Selangor MAC seharusnya berterima kasih kepada ketangkasan Syawal yang memastikan mereka terus kekal dalam permainan.
Minit ke-34, Jamur melepaskan rembatan cantik yang mengenai palang dan melantun masuk ke dalam gawang, dan jaringan itu kekal menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.