Badan bebas, “First Instance Body” (FIB) memaklumkan bahawa Kelantan FC dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua yang akan dibuka pada 5 Julai 2023.
Baca Juga:
- Nurshamil Abd Ghani ‘Londehkan’ Kepincangan Pengurusan TRW Kelantan
- Bekas Pemain TRW Kelantan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Zamsaham
- Miguel Cifuentes Tinggalkan TRW Kelantan, Sertai Sabah
Hukuman itu dijatuhkan susulan kegagalan kelab ini menghantar bukti bayaran caruman KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan kepada Kelantan FC pada 28 Jun 2023 dan 30 Jun 2023.
Ini adalah hukuman berasingan daripada sebarang tindakan yang boleh diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan aduan kes-kes lain.
Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, Jawatankuasa FIB memandang serius mengenai isu berkenaan dan tindakan terpaksa diambil selepas Kelantan FC gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh yang diberikan.
“Pihak FIB masih tidak menerima sebarang bukti bayaran ansuran KWSP (bayaran ansuran pertama) dan bukti bayaran gaji penuh pemain serta pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan kepada Kelantan FC.
“Oleh kerana kegagalan Kelantan FC memberikan bukti bayaran tersebut, maka dengan ini hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua dijatuhkan dengan serta merta,” katanya.
Hukuman sekatan perpindahan pemain ini akan ditarik semula sekiranya mereka berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan caruman KWSP, gaji pemain dan pegawai sebelum jendela kedua berakhir pada 1 Ogos 2023.
Bagaimanapun tindakan untuk menarik semula sekatan itu juga perlu mengambil kira keputusan FAM dan FIFA berkenaan kes lain melibatkan pasukan tersebut.