Pemain Johor Darul Ta’zim II, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan berlepas ke Jepun Ahad ini selepas menerima tawaran bagi menjalani sesi percubaan bersama sebuah kelab J2 League, Roasso Kumamoto FC.
Hadi Fayyadh semalam baru sahaja melaporkan diri di kem latihan pusat skuad bola sepak Sukan Asia 2018 dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, terpaksa digugurkan bagi memberikan peluang kepadanya untuk bersama Roasso Kumamoto FC.
Menurut laman sosial Facebook Johor Darul Ta’zim, berita tentang sesi percubaan itu disampaikan oleh Mazlyn Mena Mustapha, Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam dan Sains Yakult Sdn Bhd yang menyatakan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku pemilik kelab JDT telah memberi perkenan dan melihat ia sebagai peluang untuk pemain muda mendapatkan pengalaman.
Sekiranya terpilih untuk bersama Roasso Kumamoto, Hadi Fayyadh dijangka akan didaftarkan sebagai pemain tempatan dan bukan sebagai pemain import. Ini adalah kerana J.League telah mengiktiraf pemain-pemain dari negara-negara yang mempunyai kerjasama 2 hala – J.League Nations Partner, tidak akan didaftarkan sebagai pemain import.
Roasso Kumamoto kini berada ditangga ke 21 saingan J2 League dengan 23 mata dari 26 perlawanan.
Selain Hadi Fayyadh, seorang lagi pemain Malaysia yang mendapat perhatian dari kelab Jepun adalah Shivan Pillay Asokan menurut laporan dari Stadium Astro.