Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai nama 31 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney bagi menyertai kem latihan pusat bermula Selasa, 19 April 2022 sebagai persiapan menjelang saingan Sukan SEA 2021 di Vietnam dari 6 hingga 22 Mei 2022.
Daripada senarai pemain tersebut, Maloney telah memanggil 19 pemain dari skuad 23 pemain yang telah membawa Malaysia layak ke Piala Asia B-23 2022 selepas muncul juara Kumpulan J, saingan kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia dari 25 hingga 31 Oktober 2021.
Turut tersenarai, pemain kelab Jepun, Azul Claro iaitu Hadi Fayyadh bersama seorang lagi pemain luar negara, Luqman HakimĀ dari kelab KV Kortrijk. Kedua-dua pemain itu sebelum ini pernah beraksi dalam saingan Sukan SEA 2019 ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Skuad B-23 kebangsaan akan menjalani latihan harian di sepanjang kem latihan pusat kali ini di UM Arena, Kuala Lumpur dengan 31 pemain yang dipanggil ini akan melapor diri secara berperingkat selepas masing-masing selesai komitmen perlawanan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super 2022 dan Liga Premier 2022.
Mereka dijadual akan mengadakan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 bertemu Timor-Leste B-23 pada 29 April 2022 dan Filipina B-23 pada 1 Mei 2022, dengan kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penonton berdasarkan persetujuan daripada pasukan-pasukan yang terlibat.
Maloney kemudian akan menamakan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2021 yang mana skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas dari KLIA, Sepang ke Hanoi, Vietnam pada 4 Mei 2022. (Mengikut peraturan penganjur, seramai 20 pemain sahaja boleh dibawa dan pemain tambahan hanya dibenarkan menyertai pasukan jika terdapat mana-mana pemain disahkan positif COVID-19 untuk menggantikan pemain tersebut)
Untuk saingan Sukan SEA kali ini, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos.
Keputusan undian bola sepak lelaki Sukan SEA 2021. Skuad Malaysia B-23 diundi dalam kumpulan B. #SEAGames2021 pic.twitter.com/HU44eX0TeF
— VOCKET FC (@vocketfc) April 6, 2022
Skuad negara akan memulakan kempen berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos pada 11 Mei, Singapura pada 14 Mei dan Kemboja pada 16 Mei 2022, dengan kesemua perlawanan kumpulan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.
Sementara saingan Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah yang juga juara bertahan, Vietnam, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor-Leste pula dijadual berlangsung di Stadium Viet Tri, Phu Tho.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan seterusnya akan layak ke separuh akhir pada 19 Mei di Stadium Thien Truong dan Stadium Viet Tri manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan Final dijadual berlangsung pada 22 Mei 2022 di Stadium My Dinh, Hanoi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.
Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil
10 Hari Dalam Kem Latihan Pertama, Kim Pan Gon Akui Gembira Dengan Prestasi Pemain
Dion Cools: Ini Persembahan Terburuk Saya Bersama Skuad Kebangsaan
Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya