Kelab Thai League 1, Chonburi FC terpaksa pulang semula ke negara mereka selepas pihak penganjur memutuskan untuk membatalkan kejohanan Meizhou Hakka Cup berikutan penularan wabak Virus Corona di China.
Chonburi FC merupakan salah satu wakil dari Thailand yang dijemput menyertai kejohanan itu selain kelab divisyen 1 Korea Selatan, Sangju Sangmu. Wakil dari Malaysia, Selangor telah mengumumkan penarikan diri kerana bimbang akan memberi kesan kepada tahap kesihatan pemain dan pegawai pasukan.
BREAKING: Meizhou Hakka Chinese New Year Pre-Season Cup 2020 is cancelled. Chonburi FC will come back to Thailand tomorrow afternoon.
Source: Sport Retro pic.twitter.com/5UFmi68vGE
— All Things Thai Football 🇹🇭 (@ThaiFootballs) January 26, 2020
Pengurus Chonburi FC, Sasit Singtoothong mengesahkan perkembangan itu selepas bermesyuarat bersama wakil daripada Sangju Sangmu serta Meizhou Hakka FC dan menjelaskan pasukannya akan berangkat pulang pada hari esok.
“Selepas mengadakan perjumpaan bersama pihak penganjur dan wakil pasukan dari 2 kelab itu, kami dimaklumkan kejohanan tersebut terpaksa dibatalkan kerana krisis virus corona telah memberi kesan yang besar kepada pertandingan ini.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perintah daripada kerajaan China yang melarang rakyatnya keluar rumah dan menutup beberapa bandar besar, kesemua kelab ini bersetuju untuk membatalkan kejohanan ini.
“Kami akan pulang ke Thailand pada hari esok,” kata Sasit dalam satu kenyataan di laman web rasmi Chonburi FC.
Bagaimanapun, mereka sempat menjalani latihan pada sebelah pagi bagi menjaga tahap kecergasan pemain dan membiasakan diri dengan cuaca sejuk.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menyediakan penginapan, makanan, tempat latihan dan mengambil berat terhadap tahap keselamatan pasukan. Kami sedia kembali ke china sekali lagi jika mendapat jemputan di masa yang akan datang,” katanya.
Wabak koronavirus sehingga kini telah mengakibatkan lebih 56 kematian di China sementara 2,000 orang di seluruh dunia turut dijangkiti.
Penularan wabak berkenaan dilaporkan bermula di sebuah pasar di Wuhan iaitu sebuah wilayah di China yang dikesan menjual haiwan liar secara haram.
Baca artikel lain mengenai perkembangan kejohanan Meizhou Hakka Cup sebelum ini.
Chonburi FC Enggan Tarik Diri, Tetap Ke China Sertai Kejohanan Meizhou Hakka Cup
TERKINI: Selangor Batal Sertai Kejohanan Jemputan Meizhou Hakka Cup Di China