Pasangan beregu campuran semakin meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta kebangkitan membanggakan untuk mara ke suku akhir Kejohanan Dunia 2023 yang berlangsung di Copenhagen, Denmark sebentar tadi.

Lebih manis, kemenangan penting diraih Tang Jie dan Ee Wei itu hadir ketika mereka menundukkan gandingan ranking kelapan dunia iaitu Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis.

Ia merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan dalam kejohanan dikelolakan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Permainan melibatkan kedua-dua pasangan muda ini penuh dengan drama kejar-mengejar mata yang menyaksikan jurang mata tidak terlalu jauh terutamanya pada dua set awal.

Debaran pada set pertama akhirnya menjadi milik Gicquel-Delrue yang menang dengan keputusan 22-20. Set kedua juga tidak kurang hebatnya dengan aksi bertenaga ditampilkan kedua-dua pasangan.

Bagaimanapun, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lebih baik menyerap tekanan untuk menang 21-19 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan (rubber set).

Bagaikan mendapat tonik berguna daripada Nova Widianto ketika rehat, Tang Jie-Ee Wei cukup garang pada awal set ketiga apabila mendahului 7-1.

Tetapi, pasangan dari Perancis itu tidak membiarkan gandingan Malaysia selesa dengan jurang yang jauh dan mereka mengejar hingga ke 9-11 ketika rehat ‘interval’.

Tersentak dengan aksi kemas ditampilkan lawan, Tang Jie-Ee Wei memperbaiki rentak permainan dan aksi agresif dijelmakan jelas berjaya memerangkap lawan untuk melakukan kesilapan sehingga mereka berjaya mengesahkan kemenangan 21-12.

Kemenangan dalam tempoh 73 minit itu bakal menemukan mereka dengan pemenang antara satu lagi aksi pusingan ketiga yang menemukan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dan Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Sementara itu satu lagi wakil beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.