Pearly Tan dan M. Thinaah mempamerkan aksi yang cukup bertenaga untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2023 selepas menewaskan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun sebentar tadi.

Baca Juga:

Berdepan gandingan yang berada di ranking keempat dunia itu jelas tidak langsung menggentarkan Pearly dan Thinaah untuk mengecapi kemenangan ketiga keatas lawan tersebut.

Namun, seperti dijangka kemenangan yang dilakarkan itu tidak hadir dengan mudah apabila kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata terutamanya pada set kedua.

Corak permainan agresif ditampilkan kedua-dua pasangan sehingga menyaksikan banyak rali panjang terhasil berikutan kekentalan mereka ketika bertahan.

Set pertama menyaksikan mereka terikat 12-12 pada satu ketika tetapi selepas itu Pearly dan Thinaah meningkatkan intensiti permainan sehingga memaksa lawan membuat kesilapan.

Keadaan itu jelas membuahkan hasil hingga memberikan ruang kepada pemain negara tersebut memenangi set pertama dengan keputusan 21-14.

Aksi lebih menarik dijelmakan oleh Matsumoto-Nagahara dengan tidak memberikan laluan mudah kepada Pearly-Thinaah dimana permainan diheret ke penentuan mata ‘deue’.

Keyakinan bagaimanapun lebih memihak gandingan ranking nombor 11 dunia itu untuk mencuri dua mata terakhir dimana smash terakhir Thinaah memberikan mata kemenangan 22-20.

Kemenangan dalam tempoh 45 minit itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah akan bertemu pasangan Zhang Shu Xian-Zheng Yu yang menundukkan Kirsten De Wit-Alyssa Tirtosentono dari Belanda.

Berdasarkan rekod sepanjang kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Pearly dan Thinaah tewas pada ketiga-tiga perlawanan melibatkan mereka dengan wakil dari China itu.