Pemain perseorangan wanita utama negara, Goh Jin Wei melepasi cabaran pusingan awal Kejohanan Badminton Dunia 2023 selepas menundukkan wakil Hungary, Vivien Sandorhazi dalam tempoh 30 minit.
Baca Juga:
- Kejohanan Dunia 2023: Cabaran Getir Bakal Dihadapi Zii Jia, Tze Yong Di Pusingan Pertama
- Roslin Hashim Beri Bayangan Terdapat ‘Parasit’ Dalam Badminton Negara
- Badminton Asia 2023: Yew Sin-Ee Yi Tundukkan Pasangan Nombor Satu Dunia Untuk Ke Separuh Akhir
Beraksi di Royal Arena, Copenhagen, Denmark menyaksikan Jin Wei tidak diberikan laluan mudah oleh pemain ranking ke-65 dunia itu terutamanya pada set pertama.
Ia jelas dibuktikan apabila Sandorhazi tidak memberikan ruang buat Jin Wei untuk memiliki jarak mata begitu jauh dimana pemain negara tersebut hanya mampu mendahului 11-10 ketika rehat ‘interval’.
Aksi kejar-mengejar mata terus dipamerkan sehingga Goh Jin Wei berjaya mengesahkan kemenangan set pertama dengan mata 21-18.
Awal set kedua menyaksikan Jin Wei mempamerkan aksi lebih bertenaga dengan mendahului 10-1 dan Sandorhazi mendapatkan tiga mata untuk kedudukan 11-4.
Penguasaan berterusan ditampilkan oleh Jin Wei yang kini menghuni tangga ke-35 dunia meskipun lawan cuba untuk bangkit bagi memastikan kemaraannya ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-15.
Ia merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pemain dalam pertandingan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menanti Jin Wei di pusingan kedua ialah pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, An Se Young yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.
Berdasarkan dua rekod pertemuan sebelum ini, Jin Wei tewas pada kedua-dua perlawanan dengan ‘straight set’ dalam Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Malaysia 2023.
Sementara itu, tiga lagi wakil negara akan beraksi hari ini iaitu Lee Zii Jia (menentang Jonatan Christie), Ng Tze Yong (bertemu Zhao Jun Peng) serta S. Kisona berhadapan dengan Pai Yu Po.