Cabaran sukar bakal menanti dua pemain perseorangan negara pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia 2023 yang bakal berlangsung di Copenhagen, Denmark bermula 21 Ogos nanti.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan selepas Lee Zii Jia telah diundi bertemu pemain pilihan kelima dari Indonesia, Jonatan Christie manakala Ng Tze Yong pula akan berhadapan pemain China, Zhao Jun Peng yang merupakan semi finalis edisi lalu.

Meskipun berdasarkan ranking kelihatan Zii Jia bakal menghadapi laluan sukar, beliau sebenarnya mempunyai rekod baik pada tiga aksi terakhir berdepan Christie apabila memenangi kesemua perlawanan dimana dua aksi tersebut berlangsung pada 2022.

Manakala Tze Yong pula belum pernah berhadapan dengan Jun Peng yang kini menduduki tangga ke-25 dalam ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) itu.

Sementara itu juara bertahan acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama dan menanti pemenang antara Ivan Rusev-Illiyan Stoynov dari Bulgaria dan Jeppe Bau-Lasse Molhede (Denmark).

Sekiranya layak, cabaran sebenar menanti mereka apabila bakal bertemu antara juara Sukan Olimpik 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin atau berkemungkinan pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.

Dua lagi wakil negara dalam acara beregu lelaki menampilkan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang turut mendapat ‘bye’ pusingan pertama manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula akan berhadapan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis.

Acara beregu wanita menyaksikan Pearly Tan-M. Thinaah mendapat ‘bye’ dan akan bertemu pemenang antara Julie Macpherson-Ciarra Torrance dari Scotland dan Kaitlyn Ea-Gronya Somerville (Australia).

Manakala dua lagi wakil iaitu Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien akan beraksi di pusingan pertama.

Goh Jin Wei dan S. Kisona akan membawa cabaran negara dalam perseorangan wanita dimana Jin Wei akan menentang pemain Hungary, Vivien Sandorhazi.

Pemain nombor satu dunia, An Se Young menanti di pusingan kedua sekiranya beliau melepasi cabaran awal tersebut. Kisona pula perlu menghadapi cabaran Pai Yu Po dari Chinese Taipei.

Dua wakil negara dalam beregu campuran Kejohanan Dunia 2023 ini pula iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mendapat ‘bye’ pusingan pertama manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan bertemu pasangan dari Maldives, Hussein Zayan Shaheed-Fathimah Nabaaha Abdul Razaaq.