Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan cabaran Malaysia masih diteruskan dalam Kejohanan Badminton Dunia 2023 apabila mara ke separuh akhir setelah menundukkan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Tidak pernah menewaskan lawan dari China itu pada tiga pertemuan terakhir, Aaron-Wooi Yik tampil dengan cukup bertenaga untuk melakar kemenangan berharga tersebut.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka beraksi dengan cukup agresif pada set pertama hingga membuatkan Yu Chen-Xuan Yi melakukan kesilapan-kesilapan mudah sekali gus menang 21-10.

Tersentak dengan kekalahan mudah tersebut, pasangan yang kini berada di ranking ketujuh dunia itu bangkit memperkemaskan aksi mereka bagi mengharungi set kedua.

Usaha mereka jelas membuahkan hasil untuk meraih kemenangan 21-15 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Setelah ketinggalan 2-5 pada awal permainan, Aaron dan Wooi Yik mempamerkan kebangkitan dan mengikat permainan menjadi 7-7.

Ia nyata menyemarakkan lagi api perjuangan pasangan beregu nombor satu negara itu untuk beraksi dengan lebih baik dan mereka sentiasa mendahului lawan tersebut.

Dengan moral yang semakin meningkat, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak memandang ke belakang lagi untuk mengesahkan kemenangan 21-14 dalam tempoh keseluruhan 49 minit.

Kemenangan bermakna tersebut membawa mereka ke separuh akhir untuk bertemu pemenang antara Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang bertemu pasangan penuh berpengalaman, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada satu lagi aksi suku akhir sebentar lagi.