Semalam, skuad Samurai Blue berjaya menyamakan kedudukan 2-2 untuk mengikat Senegal dalam perlawanan kedua kumpulan H. Keisuke Honda muncul sebagai wira, apabila masuk menggantikan Shinji Kagawa pada minit ke 72.

6 minit berselang, Keisuke Honda berjaya meletakkan bola didalam gawang Senegal dan gol ini cukup bermakna bagi pasukan Jepun dan beliau sendiri.

Pemain Jepun Pertama Menjaringkan Gol Dalam 3 Edisi Piala Dunia

Keisuke Honda mencatatkan sejarah sebagai pemain Jepun pertama menjaringkan gol dalam 3 edisi Piala Dunia yang berbeza.

  • Piala Dunia 2010: 4 penampilan, 2 gol
  • Piala Dunia 2014: 3 penampilan, 1 gol
  • Piala Dunia 2018: 2 penampilan, 1 gol (masih berjalan)

4 gol dari 9 penampilan di Piala Dunia!

 

Penjaring Terbanyak Asia Dalam Sejarah Piala Dunia

Gol semalam juga menjadikan Keisuke Honda sebagai penjaring gol terbanyak oleh mana-mana pemain dari Asia, menurut rekod Opta.

Ada yang menyatakan bahawa Tim Cahill adalah penjaring terbanyak sebenarnya dan bukan Keisuke Honda. Tim Cahill telah menjaringkan 5 gol dalam Piala Dunia yang disertainya.

Namun 2 daripada 5 gol itu adalah ketika Australia masih dibawah Ocenia Football Confederation (OFC) dan bukan dibawah Asian Football Confederation (AFC).

Australia menyertai AFC pada 1 Januari 2006 dan Jawatankuasa Eksekutif FIFA meluluskan pertukaran itu pada 29 Jun 2006. Australia juga menyertai Piala Dunia 2006 dibawah kuota Ocenia dan bukan dibawah kuota Asia.

 

Berkongsi Kedudukan Dengan Hiromi Hara Dalam Senarai Penjaring Terbanyak Jepun Sepanjang Zaman

Keisuke Honda

1 gol dari perlawanan bertemu Senegal itu juga membolehkan Keisuke Honda mengumpul 37 gol dari 97 penampilan keseluruhan bersama skuad Samurai Blue.

37 gol itu menyaksikan beliau berkongsi kedudukan bersama Hiromi Hara, dibelakang Kunishige Kamamoto 80 gol, Kazuyoshi Miura 55 gol dan Shinji Okazaki 50 gol.

Nota: Honda Keisuke pernah gagal untuk menyertai skuad Gamba Osaka Youth dan selepas itu beliau masuk ke pasukan Sekolah Tinggi Seiryou untuk meneruskan kariernya.

Dari situ Nagoya Grampus mengesan bakatnya dan membawa Honda Keisuke menyertai mereka selepas tamat sekolah tinggi.

Selepas Nagoya Grampus, Keisuke Honda melebarkan kariernya ke Eropah bersama VVV Venlo (Belanda), CSKA Moskow (Russia), AC Milan (Itali) dan terkini bersama CF Pachuca dalam saingan Liga MX Mexico.