Kejutan berlaku di pusingan pertama Piala FA 2023 apabila skuad Kedah Darul Aman (KDA FC) tewas 3-4 kepada Penang (PFC) melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam perlawanan yang cukup sengit di Stadium Darul Aman.

Artikel Berkaitan:

Ini adalah kekecewaan kedua yang dialami oleh para penyokong sang kenari selepas pasukan itu tewas 0-1 kepada PDRM dalam perlawanan Liga Super 2023 beberapa hari lalu.

Ketika perlawanan itu, Kedah terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 8 menerusi kapten pasukan Manuel Ott menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila penyerang import Penang, Giovane Gomes berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 21 selepas menolak masuk bola muntah. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Perlawanan mula menjadi rancak pada separuh masa kedua apabila kedua-dua pasukan saling menyerang namun Penang mengejutkan ribuan penyokong tuan rumah apabila pemain import mereka, Soony Saad meledak gol kedua pada minit ke 68.

Tersentak dengan gol itu, Kedah bangkit mengandakan asakan bertubi-tubi ke kubu pasukan lawan. Malah, jaringan Manuel Hidalgol turut dibatalkan pada minit ke 82 kerana berada dalam kedudukan ‘offside’.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan 1-2, Stadium Darul Aman kembali bergegar dengan sorakan ribuang penyokong Kedah apabila rembatan kencang Manuel Ott dari luar kotak penalti menghadiahkan gol penyamaan pada minit ke 90.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat 90 minit permainan dan perlawanan terpaksa diheretkan ke masa tambahan untuk menentukan pasukan mana yang akan mara ke pusingan kedua Piala FA.

Pada minit ke 104, Manuel Hidalgo nyaris jaringkan gol ketiga Kedah tetapi percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Penang, Syafiq Afifi. Selain itu, palang gol turut menjadi penyelamat Penang apabila menafikan tandukan Jonathan Balotelli.

Kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan kemenangan sekaligus memaksa perlawanan diheretkan ke penentuan sepakan penalti. Penjaga gol Penang, Syafiq Afifi muncul wira apabila menafikan dua sepakan penalti daripada Lee Tuck dan Bojan Ciger sekaligus menyingkirkan Kedah daripada saingan Piala FA musim ini.

Hasil kemenangan ini bermakna Penang bakal bertemu satu lagi pasukan Liga Super iaitu Kuching City di pusingan kedua Piala FA 2023 pada 15 April nanti.