Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menyediakan sebanyak 1000 keping tiket kepada peyokong Selangor yang akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi separuh akhir Piala FA 2023 pada 26 Jun ini.

Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), kelab, Alistair Edwards yang mana langkah itu diambil bagi memupuk semangat kesukanan dan memberi peluang kepada penyokong lawan untuk datang ke stadium terbaik di dunia bagi tahun 2020 itu.

“JDT telah memperuntukkan 1,000 keping tiket kepada penyokong pasukan pelawat seperti yang dimohon oleh Selangor untuk perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun.

“Peruntukan ini adalah atas dasar semangat kesukanan dan harapan lebih ramai penyokong pelawat dapat hadir untuk menikmati atmosfera di ‘2020 World Stadium of the Year’ dan ini juga adalah jumlah tiket ‘away’ tertinggi pernah diberikan kepada pasukan pelawat di Home of the Southern Tigers. Sebelum ini, tiket terbanyak yang diperuntukkan kepada pasukan pelawat adalah sebanyak 800 tiket,” kata Edwards.

Selangor mara ke peringkat separuh akhir setelah menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 3-1 pada pertemuan suku akhir sebelum ini. Yohandry Orozco dan Mukhairi Ajmal menjadi wira pasukan sekaligus memastikan Gergasi Merah itu layak ke peringkat separuh akhir untuk tahun kedua berturut-turut.

Bagi JDT pula, skuad bimbingan Esteban Solari itu membelasah Penang dengan keputusan 5-0 menerusi jaringan daripada Jordi Amat, Arif Aiman, Corbin-Ong, Syafiq Ahmad dan jaringan sendiri pemain lawan iaitu Ousmane Fane.