Skuad Helang Merah bakal berentap menentang Perak pada perlawanan akhir Shopee Piala FA pada hari Sabtu ini tanpa khidmat pemain pertahanan import, Renan Alves apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain dari Brazil itu perlu menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan mengikut Kod Tatatertib FAM.

Alves dilayangkan kad kuning kedua, seterusnya kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super 2019 bertemu Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Ahad lalu.

Mengikut Artikel 40 (2) (a) dalam Kod Tatatertib FAM iaitu berkaitan ‘Membawa Ke Hadapan Penggantungan Perlawanan’, penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain bagi perlawanan terakhir pertandingan tersebut akan dibawa ke perlawanan rasmi pasukan/kelab yang seterusnya.

“Jelas di sini, tiada langsung isu untuk berlakunya sebarang kekeliruan atau salah tafsiran terhadap terma ‘perlawanan seterusnya’ yang diguna pakai dalam Kod Tatatertib FAM itu yang mana sememangnya Alves perlu serta merta menjalani penggantungan satu perlawanan itu pada aksi Sabtu ini tanpa perlu sebarang penangguhan, pengecualian atau keistimewaan dibuat,” kata kenyataan daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: FAM

Menurut kenyataan daripada FAM, situasi ini pernah juga berlaku atau dialami oleh beberapa pemain lain yang terlepas aksi final disebabkan kad merah diterima mereka pada perlawanan liga, antaranya seperti berikut:

i. Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2013 menentang Kelantan selepas digantung dua perlawanan kerana kad merah diterimanya ketika perlawanan Liga Super 2013 bertemu Lions XII, seminggu sebelum aksi final itu. Rayuannya telah ditolak oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

ii. Pemain Liverpool, Luis Garcia dan pemain West Ham, Hayden Mullins kedua-duanya terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2006 selepas digantung tiga perlawanan akibat kad merah diterima mereka pada perlawanan Liga Perdana Inggeris. Biarpun telah menjalani dua penggantungan pada perlawanan liga, mereka tetap perlu menjalani penggantungan perlawanan ketiga pada aksi final berkenaan. Rayuan kedua-dua pemain untuk beraksi pada final itu telah ditolak.

Justeru, FAM berharap agar semua pasukan meneliti dan memahami peraturan dan kod tatatertib yang telah ditetapkan supaya semua pihak terutama penyokong tidak dikelirukan dengan maklumat yang salah dan andaian yang tidak tepat terhadap sesuatu keputusan atau tindakan tatatertib yang dibuat itu.

“Bagi FAM sendiri, kita sememangnya mahu semua pemain-pemain utama kedua-dua pasukan dapat turun beraksi pada Final Shopee Piala FA 2019, Sabtu ini, namun terpaksa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam Kod Tatatertib FAM itu,” jelas Stuart.

67229992_2631756833523444_5301688131030876160_o
Pemain Kedah giat menjalani latihan menjelang perlawanan akhir Piala FA sabtu ini. FOTO: Kedah FA

Sementara itu, pengendali pasukan itu, Aidil Sharin Sahak tidak terlalu risau dengan ketiadaan Alves kerana beliau masih mempunyai beberapa pemain muda berkualiti yang mampu mengisi kekosongan itu pada perlawanan akhir nanti.

“Kalau rayuan terhadap Renan ditolak saya perlu beralih melihat kerja keras dan latihan pemain lain setiap hari menjelang aksi final itu nanti, tetapi saya tidak boleh sebut siapa pilihan saya.

“Sudah tentu saya sedang mencongak pelan A dan pelan B dan kita akan lihat nanti siapa yang terbaik untuk diturunkan bagi menggalas tanggungjawab itu,” katanya dalam Sukan Sinar