England berjaya mengekang tekanan hebat pada lewat permainan untuk menewaskan Sepanyol sekali gus menjulang trofi Euro Bawah 21 Tahun (B-21) pada aksi final yang berlangsung di Adjarabet Stadium, Georgia awal pagi tadi.

Baca Juga:

Kemenangan manis juga turut menamatkan penantian panjang hampir 40 tahun buat England yang mana kali terakhir skuad ‘Young Lions’ memenangi kejuaraan tersebut adalah pada 1984.

Lebih menarik, lawan yang dihadapi dengan format dua perlawanan akhir (tempat sendiri dan lawan) pada ketika itu juga adalah lawan sama iaitu Sepanyol.

Perlawanan akhir tersebut nyata berlangsung dengan pelbagai drama dapat disaksikan sebaik sahaja aksi dimulakan pengadil dari Norway, Espen Eskas.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi England lebih bernasib baik pada masa kecederaan babak pertama.

Ia berikutan sepakan percuma daripada Cole Palmer terkena badan Curtis Jones lalu bola masuk menewaskan penjaga gol Sepanyol, Arnau Tenas bagi meletakkan England dihadapan.

Sebaik sahaja jaringan tersebut terhasil, terdapat protes daripada kem Sepanyol yang mengakibatkan pertikaman lidah sehingga menyebabkan pegawai pasukan Sepanyol dan England dilayangkan kad merah.

Sepanyol hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-51, tetapi tandukan Abel Ruiz menerusi situasi sepakan percuma dibatalkan selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Ruiz pastinya menjadi insan paling kecewa pada perlawanan ini setelah beliau gagal menyempurnakan sepakan penalti di masa kecederaan.

Sepakan dilakukannya berjaya diselamatkan James Trafford dan beliau sekali lagi bertindak cemerlang dengan menafikan rembatan susulan daripada Aimar Oroz.

Kecemerlangan itu bukan sahaja membantu England B-21 menjuarai saingan tetapi Trafford turut menamatkan kempen kali ini tanpa sebarang bolos pada kesemua enam perlawanan dilaluinya.