Ketua jurulatih pasukan B-18 tahun Indonesia, Fakhri Husaini memberikan beberapa faktor kegagalan skuad bimbingannya untuk mara ke perlawanan akhir saingan AFF B-18 2019 apabila tewas kepada Malaysia dengan keputusan 4-3.

Menurut Fakhri, anak-anak buahnya tidak sabar dalam memanfaatkan peluang terhidang dan tumpuan pemain berkurang khususnya ketika beraksi dalam masa tambahan.

Fakhri Husaini
Fakhri Husaini
Sumber Gambar: Goal.com

Fakhri berkata: Kami tidak memanfaatkan banyak peluang. Fokus pemain juga berkurang. Gol keempat Malaysia terjadi saat pemain pertahanan kami, Alfeandra Dewangga sedang dirawat di tepi padang dan kami beraksi dengan 10 pemain.

“Perkara itu sedikit mengganggu permainan kami. Kami kehilangan momentum dan pemain pula tidak sabar dalam memanfaatkan peluang terhidang,” katanya menurut laporan Sindonews.com.

Pada masa yang sama, Fakhri turut memberikan pujian terhadap usaha yang ditampilkan oleh pemain sepanjang kejohanan. Kemaraan ke peringkat separuh akhir merupakan hasil kerja keras pemain.

“Ini bukan pengakhiran. Tidak ada yang mereka perlu sesalkan kerana mereka sudah berjuang bermati-matian. Persembahan yang ditampilkan menunjukkan mereka mempunyai kemampuan dan pemain sudah memberikan segalanya untuk bangsa dan negara,” tambahnya.

Malaysia U18
Aksi pemain Indonesia dan Malaysia.
Sumber Gambar: FAM

Pemain tengah Indonesia, Brylian Negietha Aldama meminta maaf kerana gagal membantu pasukan untuk mara ke perlawanan akhir.

“Kami sudah berjuang bermati-matian. Kami memberikan segalanya ketika beraksi di atas padang. Mohon maaf kerana gagal untuk membawa Indonesia ke pentas akhir dan terima kasih kepada penyokong yang sudah menyokong kami,” kata Brylian.

Malaysia akan berdepan pasukan Australia di pentas akhir pada Isnin setelah The Soceroos menewaskan pasukan Myanmar dengan keputusan 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Indonesia pula akan beraksi pada menentang Myanmar bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.