Dalam keadaan sedar atau tidak, sebenarnya skuad bola sepak kebangsaan Malaysia sudah tidak mengecapi aksi bola sepak tertinggi kebangsaan diperingkat benua Asia secara merit selama 41 tahun jika dikira sehingga tahun 2021.
Tempoh 41 tahun ini adalah selepas kali terakhir skuad kebangsaan layak secara merit ke saingan Piala Asia edisi 1980 yang berlangsung di Kuwait.
Nota: Malaysia beraksi dalam saingan Piala Asia edisi 2007, apabila 4 buah negara di Asia Tenggara menjadi tuan rumah iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Sepanjang tempoh itu, sudah 9 edisi kejohanan Piala Asia berlangsung dan Malaysia gagal melayakkan diri ke saingan tertinggi bola sepak Asia dan sekiranya gagal ke saingan di China pada 2023 nanti, angka itu akan menjadi 47 tahun (edisi 2027).
Dimana kesilapan skuad kebangsaan Malaysia dalam tempoh 41 tahun ini? Apa yang telah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lakukan.
Penyokong generasi kini banyak diceritakan dengan kehebatan sejarah bola sepak negara satu ketika dahulu. Namun, hakikatnya Malaysia sudah gagal layak ke Piala Asia sejak 41 tahun yang lalu.
Bagaimana generasi sekarang menerima realiti ini?
Perbandingan Dengan Beberapa Negara Asia Tenggara Lain Di Piala Asia
Kita cuba melihat rekod penampilan beberapa buah negara dirantau Asia Tenggara sebagai perbandingan untuk tempoh yang sama dari tahun 1980 sehingga edisi 2019, tanpa mengambil kira edisi tuan rumah bersama pada 2007.
Thailand, dalam tempoh tersebut telah berjaya tampil dalam 5 edisi Piala Asia secara merit. Skuad ini pernah layak ke kejohanan tertinggi Asia ini dalam 4 edisi berturut-turut sejak tahun 1992 secara merit. (jika edisi 2007 diambil kira, Thailand layak 5 kali berturut-turut.)
Vietnam, mula kembali menyertai aksi kelayakan Piala Asia pada edisi 1996 layak 1 kali secara merit pada edisi 2019, dimana mereka muncul dalam 8 pasukan terbaik. (jika termasuk edisi 2007, Vietnam telah tampil 2 kali.)
Indonesia, sejak edisi 1980 mereka sudah 3 kali layak secara merit dan semuanya berturut-turut mulai edisi 1996, 2000 dan 2004. (Jika edisi 2007 dikira, mereka 4 kali melakukan penampilan di Piala Asia berturut-turut.)
Singapura, kali terakhir pasukan ini beraksi di Piala Asia adalah pada edisi 1984 dimana mereka layak selaku tuan rumah. Ini bermakna Singapura hanya sekali beraksi pada kejohanan tertinggi Asia setakat ini.
Inilah realiti yang mungkin ramai terlepas pandang mengenai pasukan bola sepak kebangsaan dalam kejohanan diperingkat Asia.
Dari sudut popular tidak dinafikan sukan bola sepak memang menjadi sukan paling popular, tetapi jika diukur melalui pencapaian, bola sepak kebangsaan hanya mampu berbangga dengan gelaran sub-continent sahaja.
Apa sekalipun, penyokong tetap akan menaruh harapan tinggi kepada skuad bola sepak kebangsaan untuk membuktikan kita tidak perlu menunggu edisi 2027 atau 47 tahun untuk layak ke Piala Asia.
Buktikan kita mampu ke China 2023 secara merit!
Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda.
Tokyo Verdy Miliki Skuad Sepak Takraw Wanita, Bukan Sekadar Kelab Bola Sepak Semata-Mata
Gagal Terima Kebenaran Atau Kelonggaran, Tiada Perlawanan Antarabangsa Untuk Harimau Malaya
RASMI: Jalil Rasheed Sah Dilantik Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Baharu Kelab KV Kortrijk