Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih lagi gagal untuk melunaskan tunggakan gaji dua bekas pemain pasukan, Badhri Radzi serta Amiridzwan Taj Tajuddin yang dianggarkan sebanyak RM400,000.

Perkara ini didedahkan oleh Badhri yang mempunyai tunggakan sebanyak RM180,000 dimana beliau kesal dengan tindakan KAFA yang mengambil sikap berdiam diri tanpa mengadakan sebarang rundingan untuk membayar gaji mereka sejak setahun lalu.

KAFA
Sumber Gambar: Kelantan United

“Ada baiknya pendedahan Khairul Fahmi Che Mat itu. Ia mungkin membuka mata semua pihak bahawa kami sebenarnya tidak menerima sebarang bayaran lagi walaupun kami dengar mereka sudah mendapat penaja baharu.

“Janganlah buat kami seperti ini dan ingatlah bekas pemain turut pernah menyumbang bakti kepada pasukan. Kami tiada niat untuk memburukkan nama pasukan namun hutang tetap kena bayar dan selama mana kami perlu tunggu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Seorang lagi pemain, Amiridzwan Taj pula mempunyai baki tunggakan gaji sebanyak RM200,000 yang masih belum dilunaskan KAFA walaupun sudah membuat tuntutan lebih setahun lalu.

KAFA
Sumber Gambar: Perlis Northern Lions

“Saya ada mendengar KAFA mendapat banyak penajaan namun sedikit pun tidak mahu membuat pembayaran gaji saya.

“Mereka membuat pembelian pemain baharu untuk menguatkan pasukan sekali gus membuktikan KAFA mempunyai sumber kewangan untuk menyelesaikan hutang.

“Saya tidaklah kejam untuk meminta KAFA menyelesaikan semua tunggakan gaji namun boleh mengadakan perbincangan bagi mencari kaedah terbaik baik membuat pembayaran secara ansuran,” katanya.

Baca artikel lain mengenai pasukan Kelantan di sini:

Kelantan Gunakan Khidmat Penyerang Tempatan Bertaraf Bintang Musim Hadapan

Nazrin Nawi Hampir Pasti Menyertai Pasukan Kelantan, KAFA Masih Memburu Beberapa Pemain Berstatus Bintang

Kelibat Kelantan United Tidak Risaukan KAFA