Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengadakan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai ini bagi menyelamatkan masa depan bola sepak Kelantan khususnya skuad The Red Warriors.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, keputusan untuk mempercepatkan proses itu telah diputuskan barisan Exco dalam satu mesyuarat khas semalam.

Kelantan FA
Sumber Gambar: Kelantan FA

“Atas dasar semangat ahli gabungan yang mahu perubahan serta merta, KAFA memutuskan untuk mengadakan pemilihan Exco bagi semua jawatan pada 6 Julai. Notis EGM akan mula dikeluarkan esok (hari ini) berserta borang pencalonan yang akan dibuka hingga 30 Jun ini.

“Sekiranya ada pertandingan atau tidak, ia akan diumumkan pada 6 Julai nanti. Jadi, masa depan bola sepak Kelantan kita serahkan kembali kepada ahli gabungan. Ini peluang mereka untuk membuat pilihan tepat demi kebaikan bola sepak Kelantan yang memerlukan kepimpinan baharu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

presiden-bibi-ramjani
Sumber Gambar: Stadium Astro

Sebelum ini, Bibi Ramjani Ilias Khan menerusi laman sosial Facebook beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden KAFA selepas mendapat desakan daripada ramai pihak.

Beberapa nama kemudiannya dikaitkan dengan kerusi kosong Presiden KAFA itu seperti Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Ahli perniagaan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz turut menyuarakan hasrat untuk menjadi Presiden KAFA.