Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikatakan enggan membayar gaji pemain daripada skuad Piala Presiden berikutan prestasi hambar yang ditunjukkan oleh pasukan itu musim ini.

Sebuah laman di media sosial Facebook, La BOLA Malaya membuat pendedahan dimana bukan sahaja KAFA enggan membayar gaji pemain skuad Piala Presiden, malah Presiden dan barisan Exco tidak menunjukkan sebarang usaha untuk membayar gaji pemain.

Apabila mendapat sedikit dana, mereka lebih memilih untuk membayar gaji pemain yang beraksi bersama skuad utama dalam saingan Liga Perdana dan juga skuad Piala Belia.

Pemain skuad Piala Presiden Kelantan bertindak balas dengan mencapai kata sepakat dimana mereka tidak akan turun beraksi selepas Hari Raya Aidilfitri sekiranya KAFA masih berdiam diri mengenai pembayaran gaji mereka.

Para pemain juga sudah menghantar surat kepada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bagi menuntut hak mereka supaya dijelaskan dan tidak terlepas pandang mengenai kebajikan pemain.

bibi_ramjani

“Zalim sungguh apa yang dilakukan oleh KAFA, dengan gaji tak dibayar sejak tiga bulan, macam mana pemain nak beri komitmen terbaik di atas padang. Mereka juga perlukan duit untuk menampung kehidupan, nak isi minyak motor untuk datang berlatih.

“Ini tinggal dua hari lagi nak sambut raya, rasanya tak ada persiapan apa-apapun. Nak beli baju macam mana kalau gajipun tak dibayar,”kata sumber rapat TPW menurut laporan Utusan Malaysia.