Konflik antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan bekas ketua pasukan skuad The Red Warriors, Badhri Radzi memasuki babak baru apabila persatuan tersebut enggan memberikan surat pelepasan kepada Piya yang kini beraksi bersama Kelantan United.
Menurut satu entri menerusi Instagram Story milik pemain tengah berusia 36 tahun itu, KAFA enggan mengeluarkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) selagi Piya tidak mengabaikan tunggakan gaji selama dua bulan (Mac dan April) kepada badan induk bola sepak Kelantan itu.
Pada 19 Mei lalu, KAFA mencapai kata sepakat dan bersetuju untuk menamatkan kontrak Piya kerana masalah kewangan kritikal yang dialami oleh persatuan itu.
Malah, dalam surat penamatan kontrak yang dikeluarkan KAFA, mereka menyatakan tuntutan tunggakan gaji pemain itu adalah di bawah tanggungan KRW Sdn Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn Bhd dan KAFA tidak bertanggungjawab ke atas sebarang tuntutan oleh Piya.
Perkara ini nyata mengejutkan kerana ianya satu tindakan yang tidak profesional diambil oleh badan yang sudah lama berkecimpung dalam saingan Liga Malaysia.
Tambahan pula Piya merupakan salay satu pemain yang paling banyak menyumbang kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia seperti Piala Malaysia, Piala FA dan trofi Liga Super ketika The Red Warriors berada di zaman kemuncak.
Tindakan yang diambil oleh KAFA turut mencerminkan kelemahan dalam pentadbiran Bibi Ramjani dan beliau jelas tidak mengerti mengenai pengurusan dalam sukan bola sepak.