Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan tanpa berselindung mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas berada pada kelas yang tersendiri selepas membelasah skuad kendaliannya, malam tadi.
Baca Juga:
- Negeri Sembilan vs JDT: Harimau Selatan Berpesta Belasah Skuad Jang 7-0
- K. Devan Ada Ramuan Jinakkan Harimau Selatan Di Stadium Larkin
- Peminat Negeri Sembilan Pelik Herold Goulon Selalu Hilang Ketika Lawan JDT
Ketinggalan dua gol di babak pertama hasil jaringan Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo, jentera pertahanan Negeri Sembilan semakin longlai pada 45 minit berikutnya sehingga membolehkan JDT menambah lima gol lagi untuk mengesahkan kemenangan 7-0.
Lebih mengecewakan buat kem Negeri Sembilan, perlawanan tersebut berlangsung di hadapan kira-kira lebih 15,000 penyokong tuan rumah yang hadir ke Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.
Susulan dengan itu, Devan turut mengakui kelemahan di jentera pertahanan menjadi faktor kekalahan besar dialami skuad kendaliannya.
“Mungkin hari ini pasukan kita bukan berada dalam prestasi sebenar kerana kita dalam tempoh masa sembilan hari kita bermain tiga perlawanan.”
“Di bahagian pertahanan juga menyaksikan kita telah banyak melakukan kesilapan. Pujian harus diberikan kepada pasukan JDT kerana kualiti mereka cukup berbeza berbanding pasukan kami.”
“Saya rasa mungkin kita perlu memperbaiki kesilapan seterusnya fokus untuk menghadapi perlawanan akan datang,” ujar Devan bercakap selepas aksi malam tadi.
“Saya tengok titik perubahan apabila kita masuk di separuh masa kedua untuk mengubah permainan tetapi mereka mendapat sepakan penalti dan gol ketiga.”
“Mungkin semangat pemain yang berada dalam keadaan keletihan. Dari situ mungkin kita lakukan kesilapan di bahagian pertahanan.”
“Saya nampak pasukan JDT bermain begitu baik pada malam ini dengan langsung tidak memberikan ruang kepada kita. Kita tidak boleh menyimpan bola dan lebih banyak bertahan.”
“Larian-larian mereka di belakang pertahanan kita, serangan balas pantas begitu baik sekali jadi JDT memang pada kelas berbeza berbanding kita.”
“Masih ada banyak lagi perlawanan, mungkin hari ini bukan malam kita. Jadi, kita perlu fokus dan seterusnya di perlawanan akan datang kita akan berikan yang terbaik.”
Lawan seterusnya yang akan dihadapi oleh Negeri Sembilan pada aksi keempat Liga Super Malaysia 2023 ialah Kuala Lumpur di Cheras pada Sabtu ini manakala JDT pula akan menanti kunjungan Kelantan.