Pemain badminton sedang meningkat naik negara, Justin Hoh memberikan penghargaan kepada bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yang sudah pun meninggalkan skuad remaja negara.
Baca Juga:
- Datuk Misbun Sidek, BAM Capai Persetujuan Untuk Berpisah
- Justin Hoh Semakin Hampiri Ranking 50 Terbaik Dunia
- Kenali 10 Jurulatih Badminton Dari Malaysia Yang Sedang Berkhidmat Di Luar Negara
Seperti dilaporkan sebelum ini, Misbun yang sebelum ini bertindak selaku Pengarah Pembangunan Remaja Perseorangan di Akademi Badminton Malaysia telah bersetuju untuk melepaskan jawatannya itu.
Keputusan itu sudah pastinya berkait rapat dengan aksi hambar skuad remaja negara ketika mengharungi Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia yang berlangsung baru-baru ini dimana
Malaysia tewas di tangan juara bertahan, Thailand 0-3 pada peringkat suku akhir.
Sehubungan dengan itu, Justin yang mendapat bimbingan Misbun tampil memberikan sokongan padu terhadap jurulatih berpengalaman tersebut.
“Saya tahu ramai orang di luar sana yang mempersoalkan kemampuan dan menganggap cara anda (merujuk kepada Misbun) mengajar sudah lapuk,’’ ujar Justin dalam kenyataan di laman sosial peribadi miliknya.
“Walaupun saya bersama anda selama tiga tahun yang singkat, saya ingin mengatakan bahawa anda adalah jurulatih terbaik di mata saya.’’
“Terima kasih kerana mengajar saya bagaimana untuk menjadi pemain yang berdisiplin. Tanpa anda, saya tidak akan berada dimana saya berada pada ketika ini.’’
“Sekali menjadi cikgu, selama-lamanya sebagai seorang ayah. Terima kasih, ‘Coach’ Misbun,’’ tambah Justin Hoh lagi.
Sepanjang bersama Datuk Misbun Sidek banyak kejuaraan yang telah dimenangi oleh Justin di peringkat remaja sehingga pernah meletakkannya di ranking ke-48 dunia sebelum beliau mengalami kecederaan dan perlu berehat panjang.