Julian Nagelsmann bakal sekali lagi menjadi pengganti kepada Hansi Flick apabila dilaporkan semakin hampir untuk bergelar pengurus baharu buat skuad kebangsaan Jerman.
Baca Juga:
- Julian Nagelsmann Calon Utama Pengurus Baharu Jerman
- RASMI: Bayern Munich Umum Thomas Tuchel Sebagai Pengganti Nagelsmann
- Nagelsmann Yakin Kane Akan Menjaringkan Gol Sesuka Hatinya Di Bundesliga
Perkembangan terkini itu disahkan oleh wartawan terkenal, Fabrizio Romano yang mengatakan perjanjian melibatkan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan Nagelsmann akan diselesaikan dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.
Romano turut mendedahkan bahawa kedua-dua belah pihak sudah mencapai persetujuan prinsipal untuk fasa baharu buat karier pengendali muda itu.
Sekiranya semua urusan berjalan dengan lancar, ia bakal menjadi detik kali kedua buat Nagelsmann untuk menggantikan Flick selepas beliau melakukannya pada 27 April 2021.
Nagelsmann mengisi kekosongan pengurus Bayern Munich pada tarikh tersebut kerana Flick telah dipilih sebagai pengurus skuad kebangsaan Jerman.
Tetapi selepas Nagelsmann kehilangan tugasan di kelab gergasi Eropah tersebut, Flick turut menerima nasib sama ekoran prestasi kurang meyakinkan Jerman sejak kebelakangan ini.
Keadaan itu menyebabkan DFB memilih Nagelsmann untuk menjadi pengganti Flick dalam usaha meningkatkan kembali prestasi pasukan.
Sebelum menang 2-1 ke atas Perancis (Flick sudah dipecat), Jerman hanya mampu mencatatkan satu keputusan seri dan empat kekalahan pada lima perlawanan terakhir.
Mereka seri 3-3 ketika berdepan Ukraine manakala kalah 2-3 ditangan Belgium, 0-1 kepada Poland, 0-2 ketika bertemu Colombia dan kemuncaknya dimalukan Jepun 1-4.
Satu keadaan yang membuatkan Flick kehilangan tugas hanya selepas bersama pasukan selama dua tahun.