Penyerang Kuching FA yang juga bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie, mendedahkan legenda Pahang di penghujung era 90-an dan awal tahun 2000, Azizul Kamaluddin, merupakan pemain yang paling diminati serta banyak memberikan pengaruh terhadap dirinya bagi menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Maka tidak hairanlah mengapa Joseph pernah memilih nombor 12 sebagai pilihannya ketika mewakili Terengganu pada musim 2008 hingga 2011 walaupun kini dia lebih banyak menggunakan nombor 19 bersama pasukan-pasukan lain.

Bertambah menarik, Joseph mengakui dia terkilan belum pernah menemui pemain yang jadi pujaannya itu sehingga sekarang walaupun pernah tinggal di Kuantan pada tahun 2018 ketika menyarung jersi Pahang.

“Sejak di sekolah rendah lagi, kalau main bola, dalam hati ini, saya akan kata mahu jadi macam Azizul Kamaluddin dan itulah selalu saya berikan semangat tiap kali turun beraksi sehinggalah ke zaman profesional.

“Apa yang buat saya suka sangat dengan Azizul ialah dia ada karakter tersendiri yang saya susah hendak nampak kepada pemain lain dan menjadikan dia seseorang yang istimewa di mata saya.

“Dia punya sentuhan pertama dengan bola cukup baik malah tahap penyudahnya cukup berkesan sehingga dia mampu bersaing dengan penyerang import lain pada waktu berkenaan.

“Walaupun saya tidak pernah beraksi dengannya, terus terang saya mahu berjumpa dengannya namun hajat itu belum kesampaian malah semasa di Pahang, niat itu juga tidak kesampaian dan harap mungkin ada rezeki pada lain kali,” katanya.

Azizul merupakan salah seorang pemain yang tersenarai dalam Best XI Joseph yang turut menyenaraikan tiga bekas rakan sepasukannya di Terengganu, Sharbinee Allawee, Zubir Azmi dan Ashari Samsudin.

Players BEST XI_JKT IGP

Baca artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Yaya Toure Bakal Beraksi Di Liga Malaysia?

Jumlah Pasukan Dalam Saingan Liga Malaysia Mungkin Dikurangkan