Hasrat Shin Tae-yong untuk melihat kelibat dua pemain berdarah kacukan, Jordi Amat dan Sandy Walsh menyarung jersi skuad kebangsaan Indonesia semakin hampir untuk direalisasikan.
Hal ini kerana, dua pemain yang berpangkalan di Belgium itu dikatakan sudah melengkapkan segala dokumen diperlukan bagi membolehkan mereka mendapat taraf kerakyatan sebagai Warga Negara Indonesia (WNI).
Perkembangan terkini yang sudah pastinya menggembirakan para skuad ‘Garuda’ itu disahkan oleh Exco Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Hasani Abdulgani menurut laman Instagram miliknya.
Hasani turut mengharapkan segala proses yang sedang berjalan dengan kerjasama Kerajaan Indonesia itu akan selesai sebelum bulan April.
Selain itu dalam perkembangan sama mengenai status pemain kacukan tersebut, Shin Tae-yong turut mengharapkan agar segalanya dapat dipercepatkan termasuklah melibatkan dua lagi pemain, Ragnar Oratmangoen dan Mees Hilgers.
PSSI turut mendedahkan bahawa permohonan melibatkan Ragnar dan Mees hanya akan bermula pada Februari nanti.
Khidmat pemain kacukan amat ditagih pengendali dari Korea Selatan itu untuk membawa cabaran pasukan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 serta Piala AFF 2022 yang dijadualkan berlangsung pada hujung tahun ini.
“Saya berharap semua pemain naturalisasi [kacukan] dipercepatkan dalam proses mengubah atau mengganti kewarganegaraan mereka.”
“Saya akan berterima kasih kepada pemerintah [kerajaan] dan PSSI sekiranya proses ini dapat dipercepatkan,” ujar Tae-yong menurut laporan dikeluarkan Goal Indonesia.
Seperti dilaporkan sebelum ini, keempat-empat pemain yang mempunyai pertalian darah Indonesia menyatakan hasrat untuk menyarung jersi negara jiran tetangga dan musuh tradisi buat Malaysia itu.