Setelah menanti selepas tiga perlawanan, penyerang Kuala Lumpur City ( KL City) FC, Jordan Mintah akhirnya menoktahkan penantian jaringan melalui dua gol bagi membantu skuad warga kota melakar kemenangan 2-1 semasa berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, pada Rabu.
Bukan sahaja mahu meredakan tekanan selaku penyerang namun apa lebih penting bagi Mintah ialah KL City kembali menemui sentuhan kemenangan selepas empat perlawanan.
Dalam masa sama, penyerang yang berasal dari Ghana itu berharap kejayaan membuka akaun jaringan bersama KL City hanyalah sebagai permulaan dalam meledak lebih banyak gol bersama pasukan.
“Rasa sangat bersyukur kerana dapat menjaringkan gol malam ini tetapi saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan.
“Saya hampir mendapatkan hatrik namun tuah tidak bersama saya tetapi apa lebih penting kami berjaya raih kemenangan selepas beberapa perlawanan.
“Memang memakan masa bagi saya bagi mendapatkan keserasian kerana hadir ke sini semasa pintu perpindahan kedua pemain hampir ditutup.”
“Dari perlawanan ke tiap perlawanan, saya sudah mula memahami corak permainan rakan sepasukan dan harap jaringan ini adalah permulaan untuk saya akan jaringkan lebih banyak gol untuk KL City, ” tambah Jordan Mintah lagi.
Kedah terlebih dahulu mendahului pada minit 42 apabila tandukan Aiman Afif berjaya menewaskan Kevin Mendoza namun KL City berjaya lakar kebangkitan di babak kedua.
Mintah tidak mensia-siakan kesempatan melalui sepakan penalti pada minit 56 sebelum dia menyempurnakan hantaran lintang Romel Morales, 16 minit kemudian.
Kemenangan itu membawa KL City naik ke tangga keempat memintas kedudukan Kedah serta Selangor FC yang turut tewas di tangan Sri Pahang FC, 0-2 di Kuantan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Atasi Selangor, Dollah Salleh Anggap Tuah Memihak Sri Pahang
TERKINI: Here We Go! Barcelona ‘Sailang’ Kounde Dari Sertai Chelsea
AFF Wanita B-18: Kok Keng Lin Akui Hakikat Australia Jauh Lebih Baik Daripada Malaysia